Followers

Wednesday, June 25, 2014

Muhyiddin dan beberapa orang pengikut serta rakan karibnya ke Jakarta membincangkan bagaimana nak menhadapi Najib?


Setelah Perdana Menteri, Najib Razak memberikan kenyataan bahawa desas-desus perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hanyalah rekaan politik pihak-pihak tertentu saja dan diikuti pula dengan perasaan lega pengundi serta ahli-ahli UMNO Pagoh menerima perkhabaran itu, hakikat yang berlaku mungkin adalah sebaliknya.
Sebagaimana yang selalu terjadi, penafian tidak lagi bermaksud sesuatu itu tidak akan berlaku, malah lebih merupakan petunjuk bahawa khabar angin semakin hampir menjadi kenyataan.

Ini berikutan tidak berapa lama selepas Najib menafikan ada sebarang pertukaran orang nombor duanya, dikhabarkan pula bahawa Muhyiddin telah pun berlepas ke Jakarta dengan diikuti oleh beberapa orang pengikut serta rakan karibnya dalam dunia politik.

Beberapa nama telah disebutkan sebagai antara yang pergi menemani Muhyiddin ke Jakarta itu dan antaranya memang diketahui sebagai penyokong setia dan mereka yang selalu jatuh bangun bersama-sama dengannya.

Sumber yang dekat dengan Muhyiddin memberitahu, pemergian itu ada kaitan untuk membincangkan perkembangan politik terbaru mengenai dirinya serta hubungannya dengan Perdana Menteri yang menjadi bualan ramai ketika ini.

Difahamkan, hasil daripada perbincangan di Jakarta itu nanti, tidak mustahil Muhyiddin akan membuat sesuatu keputusan yang mengejutkan. Namun tidak mustahil juga beliau dinasihati terus kekal dan bersabar sehingga pilihanraya umum akan datang.

Sebelum tersebar berita mengenai perletakan jawatan Muhyiddin yang dihebohkan melalui media sosial, sudah lama sebenarnya kedengaran mengenai hubungan dinginnya dengan Najib Razak kerana beliau difahamkan tidak bersetuju dalam beberapa perkara tetapi tidak mampu bertindak berikutan pemusatan kuasa yang terlalu tertumpu kepada Najib dan Seri Perdana.

Blog ini turut mendedahkan kesengsaraan yang dialami oleh Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua yang seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa. Berbanding ramai pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa dengan Najib, Muhyiddin mungkin merupakan orang yang paling sengsara dan terseksa jiwanya.

Kemudian dari itu, bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau Zam dalam blognya juga menulis bahawa Muhyiddin memang diketahui telah memberitahu beberapa rakannya mengenai hasrat untuk meletakkan jawatan dan walaupun alasan yang diberi ialah umur tetapi dikatakan juga menyimpan perasaan kecewa yang mendalam tentang beberapa hal.

Najib pula, disebalik menafikan desas-desus mengenai Muhyiddin tetapi masih lagi menangguhkan rancangannya untuk merombak kabinet, meskipun wakil daripada MCA dan Gerakan yang sebelumnya dipelawa dan dijanjikan jawatan dalam kabinet sudah tidak sabar-sabar mahu berada dalam kerajaan.

Rombakan kali ini, selain bertujuan memasukkan wakil MCA dan Gerakan, dipercayai juga untuk menaikkan pangkat sepupunya, Hishammuddin daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Kewangan. Langkah itu pastinya akan membuatkan Muhyiddin tersinggung kerana ia menunjukkan seolah-olah Najib sedang mempersiapkan Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya.

Penafian Najib sambil mengatakan ia hanyalah rekaan politik tetapi dalam masa yang sama masih menangguhkan rombakan kabinet, lebih membuktikan bahawa beliau memang ada rancangan untuk menaikkan pangkat Hishammuddin sambil menyisihkan Muhyiddin secara perlahan-lahan.

Jika rombakan kabinet sekadar untuk memasukkan wakil MCA dan Gerakan atau menukar portfolio beberapa menteri UMNO yang tidak menjejaskan masa depan Muhyiddin, tiada sebab Najib masih menangguhkannya sehingga sekarang.

Namun, oleh kerana isu ini sudah menjadi perbualan ramai, kemungkinan besar ianya ditukar atau ditangguhkan dahulu sehingga keadaan reda. Tetapi Muhyiddin dikatakan semakin memahami permainan politik Najib dan nasib yang bakal menimpa dirinya.

Dalam masa yang terdekat ini nampaknya ada dua perkara yang menjadi penantian - rombakan kabinet dan pengumuman Muhyiddin mengenai masa depannya hasil perbincangan dengan rakan-rakannya di Jakarta itu.
 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.