Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran rakyat
Malaysia yang berjuang dalam peperangan di Syria akan ditangkap sebaik
saja mereka pulang ke tanah air.
Zahid berkata,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau pergerakan rakyat Malaysia yang
berada di Syria dan bertegas tindakan akan diambil jika terlibat dalam
kegiatan militan di sana.
"Kami peroleh
maklumat dan jika menjejak kaki di Malaysia, tangkapan dan pendakwaan
akan dilakukan," katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan
dengan Kedutaan Amerika Syarikat di Hotel Royale Chulan, Damansara, hari
ini.
Beliau berkata, terdapat usaha merekrut rakyat Malaysia sebagai pengganas untuk berjuang di luar negara.
"Itu satu
maklumat yang harus diperincikan, iaitu usaha pembendungan perlu
dijalankan bagi memastikan tidak ramai rakyat Malaysia melakukan perkara
demikian.
"Terutama
dengan cara merekrut di laman sosial media dan kita tidak mahu usaha ini
mendapat dokongan daripada pihak militan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, usaha pembendungan akan terus dilakukan.
"Usaha berterusan pembanterasan dan pencegahan akan dilakukan," katanya.
Mei lalu, The
Malaysian Insider mendedahkan 10 militan ditahan polis awal minggu lalu
kerana mahu membantu perang saudara yang berlarutan di Syria.
Selain itu,
Utusan Malaysia juga melaporkan puluhan rakyat Malaysia dipercayai
terbabit dengan kumpulan militan di Syria, termasuk seorang bekas
pemuzik daripada kumpulan rock terkenal tahun 1990-an.
Akhbar itu yang
memetik daripada sumber keselamatan berkata, rakyat Malaysia itu
dikatakan terpengaruh dengan perjuangan 'jihad' yang membolehkan mereka
mati syahid dalam perang saudara di negara Islam tersebut, walaupun
kumpulan pemberontak Syria yang menentang kerajaan pimpinan Bashar Al
Assad itu ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel melalui sekutu
mereka di Timur Tengah.
Berjuang atas
nama 'jihad', mereka dipercayai dilatih ala tentera menggunakan senjata
api terlebih dahulu, sebelum berlepas ke Syria menaiki penerbangan sama
ada melalui Turki, Jordan dan Lebanon.
Utusan Malaysia
turut melaporkan dipercayai terdapat rakyat Malaysia yang terlibat
dengan kumpulan militan Syria itu terbunuh ketika berperang.
Zahid sebelum
ini juga mendedahkan kumpulan militan menyebarkan aktiviti mereka
menerusi misi kemanusiaan ke luar negara dan polis kini memantau rapat
kegiatan itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.