Followers

Thursday, June 26, 2014

Harga maksimum 18 jenis barangan terkawal ditetapkan


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum bagi 18 jenis barangan harga terkawal di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
 
Antara barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam yang telah disembelih, telur, daging tempatan lembu dan import, cili merah, tomato,  kelapa, bawang, ubi kentang dan ikan kembung termasuk ikan mabung.
 
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2014 akan bermula 20 Julai sehingga 5 Ogos depan dengan tempoh yang lebih panjang iaitu selama 17 hari berbanding 15 hari sebelum ini.
 
Menterinya, Datuk Seri Hassan Malek berkata, kadar maksimum bagi barangan tersebut tidak jauh berbeza dengan tahun lepas namun terdapat penurunan harga bagi cili merah pada kali ini iaitu RM11 sekilogram berbanding RM14 sekilogram tahun lepas.
 
Ini kerana bekalan cili merah adalah stabil.
 
Bagaimanapun harga daging lembu tempatan ditentukan lebih tinggi akibat peningkatan harga semasa didorong oleh pertambahan permintaan lembu hidup daripada beberapa negara, kos pengeluaran dan pengangkutan serta kekurangan bekalan daripada negara pengeluar seperti Australia dan Thailand akibat perubahan cuaca.
 
"Kali ini kementerian turut meminta jawatankuasa keselamatan kampung dan orang ramai untuk sama-sama memberi maklumat kepada kami sekiranya terdapat peniaga yang melanggar peraturan. 
Malah media juga diminta untuk memainkan peranan penting untuk memberi laporan mengenai perkara ini," katanya semasa sidang media di sini hari ini.
 
Menurut Hassan, sejumlah 1, 800 penguatkuasa di seluruh negara digerakkan untuk memantau harga barangan dan menjalankan operasi di bawah skim ini.
 
Tambah beliau, harga ditentukan untuk 149 kawasan dan daerah di seluruh negara dan berbeza antara satu sama lain.
 
Para pengguna boleh melayari laman web KPDNKK bagi mengetahui harga maksimum bagi 18 barangan berkenaan.
 
Tambah beliau, selain diwajibkan menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum,  peniaga juga diwajibkan untuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.
 
Peniaga yang engkar boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
 
Harga maksimum runcit bagi barangan harga terkawal bagi Kuala Lumpur
 
1. Ayam hidup - RM6.40
2. Ayam standard - RM7.7
3.Ayam premium - RM8.50
4. Daging lembu tempatan -RM26
5. *Daging lembu import - tertakluk hanya di Sabah dan Sarawak
6. Daging kerbau import (India) - RM15
7. Telur ayam gred A - 36 sen
8. Telur ayam gred B - 35 sen
9. Telur ayam gred C - 34 sen
10. Cili merah- RM11
11. Tomato - RM4.50
12. Kelapa parut - RM6
13. Bawang merah kecil (India) - RM5
14. Bawang besar import - RM2.50
15. Bawang putih China - RM5
16. Ubi kentang (China) - RM3
17. Ikan kembung termasuk ikan mabung - RM12
18. Kelapa biji - harga tidak dinyatakan.
 
* Harga adalah mengikut kuantiti sekilogram kecuali telur iaitu berdasarkan biji.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.