Followers

Tuesday, June 10, 2014

DNA babi: Dr Maza 'sekolahkan' Ustaz Khazim.

Wah .. wah wa ... nampaknya isu DNA babi tak habis atas cekelat tu je. Sekarang masuk fasa perdebatan para ilmuan agama. Cuma betul ke ilmuan agama yang arif?

Kat bawah ni dua pendapat yang berbeza. Satu pro UMNO .. satu tak pro mana-mana cuma sikit condong pada pakatan (PAS)

Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain mendapat sanggahan daripada pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias.

Mohd Kazim berkata, hukum melibatkan makanan haram dan halal merupakan isu yang besar dan tidak patut diperkecilkan oleh mana-mana pihak.

"Ni yang terbaru dia kata DNA babi halal dimakan, sebab dah diproses menjadi lain, dah pening kepala dah, dah keluar dah Facebook dah keluar dalam tulisan dia dah," katanya.

Menurutnya lagi, umat Islam harus berpegang teguh kepada ketetapan Islam yang digariskan oleh mazhab yang selama ini menjadi ikutan kepada Muslim di negara ini.

"Keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi tidak boleh dimakan, setiap benda makanan haram yang masuk dalam badan akan jadi daging.

"Kalau makanan itu makanan haram, nerakalah tempatnya bagi kita, kalau makanan itu halal maka syurgalah tempatnya untuk kita," tambahnya.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan bahawa DNA yang terdapat dalam vaksin yang digunakan terhadap jemaah haji ialah DNA lembu, bukan DNA babi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Kalau Majlis Fatwa Perak dapat tahu vaksin DNA babi disuntik ke dalam badan jemaah haji, sudah lama Majlis Fatwa Perak keluarkan hukum haram ke atas jemaah haji yang mahu ke Makkah," tegasnya.
 
DAN INI JAWAPAN Dr MAZA ISU DNA BABI

MENGULAS PENCERAMAH BEBAS YANG MERENDAHKAN DR YUSUF AL-QARADAWI

Saya terkejut dengan seorang penceramah agama yang dikenali mengulas isu kenyataan al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai kesan DNA khinzir dalam makanan dan bahan yang terdapat secara meluas di dunia hari ini. Jika kita dengar ulasan penceramah tersebut seakan Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah yang terdiri dari ramai tokoh ilmuwan antarabangsa, beberapa persidangan Fekah di peringkat antarabangsa dan lain-lain yang mengharuskan itu tidak tahu bahawa babi itu haram.

Bagi menyokong hujahnya, penceramah itu secara 'janggal' menyebut empat-empat mazhab mengharamkan babi. Katanya pula, ulama hanya khilaf tentang kulit babi.

Saya ingin katakan, pertama, sesiapa yang ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu yang luas. Dr Yusuf al-Qaradawi, Majlis Fatwa Eropah, Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Morocco pada tahun 1997 dan lain-lain bukan tidak tahu bahawa babi itu haram. Namun isu yang dibahaskan ialah istihalah yang telah merubah sifat sesuatu bahan. Para ulama dalam pelbagai mazhab Islam mempunyai perbezaan pendapat dalam hal ini.

Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya.

Adapun kenyataan beliau bahawa mazhab empat mengharamkan khinzir amatlah canggung. Beliau hendaklah tahu bahwa bukan setakat empat mazhab, bahkan semua mazhab termasuk al-Auza'i, al-Thauri, Laith bin Sa'd, Zahiri, Zaidi dan lain-lain semuanya mengharamkan khinzir. Ia ijmak. Namun, bukan itu isunya. Apa yang dibincangkan isu istihalah.

Adapun kata beliau khilaf ulama hanya tentang kulit babi, sebenarnya bukan sahaja tentang kulit babi, tapi juga tentang tulang dan bulu. Apakah boleh dibuat sesuatu yang bermanfaat, seperti kasut ataupun bone china seperti hari ini ataupun tidak boleh? Walaupun banyak imam yang melarang perkara itu, tetapi ramai juga para imam yang membolehkan. Contoh boleh lihat nukilan al-Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni yang menyebut beberapa pendapat.

Jika kita semak, pendapat yang membolehkan itu dipertahankan oleh beberapa tokoh ulama termasuk al-Imam al-Syaukani. Sebenarnya, masalah istihalah babi ini masalah khilafiyyah. Ada yang membolehkan seperti Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Persidangan Fekah Perubatan di Morocco 1997 dan lain-lain. Ada pula yang mengharamkan seperti Majma al-Fiqh al-Islami di Jeddah, Arab Saudi.

Bukan orang Islam nak disuruh ternak babi, tapi sarjana fekah membincangkan bahan yang berubah tapi asal-usulnya ada kaitan dengan babi. Ini boleh difahami juga seperti rakyat muslim Singapore yang meminum new water iaitu air najis yang telah dirawat menjadi air bersih yang digunakan di Singapore sekarang. Bukan mereka nak minum najis, tetapi air itu asal bernajis namun telah dirawat dan dibersihkan.

Kita mengingatkan semua pihak, termasuk diri kita bahawa berceramah satu kebolehan yang lain, mungkin ia dibantu oleh kepetahan, jenaka dan lain-lain. Namun hendak membincangkan isu ilmu hendaklah berasaskan maklumat dan pengetahuan.

Sekali lagi, hal ini khilaf pendapat dalam kalangan ulama. Setiap orang membaca, meneliti dan mengikut apa yang dia yakin lebih diredhai Allah untuk dirinya. Fatwa ini dibincangkan oleh para sarjana Islam moden sebab bahan berkenaan membabitkan banyak produk yang wujud sekarang terutama mereka yang hidup di negara minoriti muslim.

Sementara sifat Islam itu memudahkan umatnya yang dalam kesulitan. Kita juga perlu ingat hal ini berlaku apabila kita tidak menjadi pengeluar dan asyik jadi pengguna. -Dr.Maza-

sumber : Pen Burok Online.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.