Tan Sri Shamsul
Azhar Abbas berkata minyak dan gas bukan milik orang Melayu dan
Bumiputera semata-mata tetapi milik semua rakyat Malaysia tidak kira
kerajaan atau pembangkang.
Ketua pegawai
eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu berkata, Akta
Pembangunan Petroleum (PDA) menyebutkan dengan jelas minyak dan gas
adalah milik semua rakyat Malaysia.
"Ia menyebut
rakyat Malaysia, jadi ia boleh milik kerajaan, boleh juga kepada
pembangkang, dan sesiapa sahaja. Kami (Petronas) ini adalah penjaga,”
katanya dalam wawancara eksklusif akhbar perniagaan mingguan berbahasa
Inggeris, The Edge keluaran 23-29 Jun, 2014.
Beliau berkata,
pada 2010 Petronas menyusun semula struktur semua organisasinya,
termasuk komposisi lembaga pengarah dengan memasukkan mereka yang
berkebolehan.
"Orang bercakap
yang saya menyingkirkan kakitangan kerajaan dengan membawa masuk bukan
Melayu, membuka Petronas yang menjadi milik orang Melayu kepada orang
bukan Melayu. Adakah kami tidak berminat pada kecekapan? Inilah perkara
susah yang saya hadapi.
"Petronas perlu
membentuk diri menjadi organisasi profesional, tetapi pada masa sama
saya ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, oleh
agenda yang ketinggalan zaman,” katanya.
Beliau berkata, campur tangan golongan birokrat dari dalam kerajaan menyukarkan Petronas untuk membuat keputusan.
Setakat ini,
bos saya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) tidak banyak
mencampuri urusan Petronas, tetapi orang di sekeliling beliau yang
campur tangan.
“Bolehkah awak bayangkan masalah yang saya alami?”
Shamsul
berkata, syarikat minyak negara itu mengamalkan kecekapan dan
meritokrasi untuk setanding dengan syarikat minyak global dan keputusan
yang dicatatkan oleh Petronas setiap tahun menunjukkan mereka
melaksanakan tanggungjawab untuk kekal berdaya saing di peringkat
global.
"Adalah terlalu sukar untuk membuat kerja dengan jujur. Awak menghabiskan masa melakukan tugas lain daripada kerja hakiki.
"Keputusan
kewangan menunjukkan keadaan sebenar, ia amat baik. Tidak seperti orang
luar (yang menjadikan sesuatu perkara sukar) dan juga orang daripada
kerajaan-birokrat. Campur tangan birokrat menjadikan sesuatu perkara
menjadi susah,” katanya.
Wawancara yang
bertajuk “Adakah kami tidak berminat pada kecekapan” itu dibuat sebagai
mengulas khabar angin menyatakan Shamsul akan meletak jawatan.
Dalam wawancara
itu, beliau berkata, sebahagian daripada transformasi Petronas adalah
untuk menjadikan syarikat minyak negara itu model baharu dunia korporat
Malaysia daripada segi profesionalisme.
Shamsul berkata, DNA Petronas adalah kurangnya campur tangan kerajaan, akan membolehkan Petronas bertindak secara profesional.
"Pada masa sama
mereka (kerajaan) mahukan Petronas menjadi sebuah syarikat minyak
global yang setara dengan Exxonmobils dan Shell, dan kami mahu menjadi
seperti itu. Tetapi Shell dan Exxonmobils tidak banyak diganggu oleh
kerajaan mereka,” katanya.
Beliau juga
mendedahkan beberapa syarikat seperti Labuan (Shipyard) yang memerlukan
lesen fabrikasi dan kerajaan meminta Petronas membantu kerana mereka
mempunyai limbungan.
Katanya,
Petronas membantu syarikat itu dengan memberikan lesen dengan syarat
akan ada proses bida dan tender ditawarkan di peringkat serantau. Tetapi
selepas mendapat lesen, syarikat itu mahu peruntukan pula.
"Saya orang
Melayu dan saya bangga... awak fikir saya tidak akan bantu kaum saya?
Sudah tentu saya mahu bantu mereka, tetapi dengan cara yang lebih
sesuai, bukannya melalui pemberian dan suapan,” katanya.
Tikaqbuloh.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.