Followers

Thursday, June 12, 2014

Anwar tidak faham isu - Perkasa


KUALA LUMPUR - Seolah-olah cuba menegakkan benang basah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya sengaja tidak mahu memahami isu yang timbul berhubung kerajaan negeri Johor dan institusi raja baru-baru ini apabila mempersoalkan teguran yang dilakukan pelbagai pihak demi kepentingan rakyat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, teguran yang dibuat berhubung penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) adalah niat murni untuk menjaga kedaulatan institusi raja, bukannya cubaan mempersoal atau mempertikaikan peranan yang ada.

Menurut beliau, perkara itu tidak sama dengan tindakan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mendapat sokongan Anwar apabila sebelum ini secara jelas menentang bekas Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan jawatan tertinggi di negeri Perak.

"Inilah yang timbul apabila Anwar tidak dapat membezakan antara kritikan Karpal terhadap institusi raja Perak dengan penubuhan lembaga itu walaupun jelas dua perkara ini sangat berbeza.

"Dalam isu ini, LPHJ belum lagi diwujudkan maka teguran dibuat untuk menjaga kemuliaan institusi raja sebaliknya Karpal mempersoal kuasa raja dalam soal pelantikan menteri besar sedangkan undang-undang sudah wujud bahawa sultan berkuasa melantik individu ke jawatan itu," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim berkata demikian bagi menyangkal kenyataan Anwar dalam sidang Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan kenapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hanya berdiam diri ketika akhbar Utusan Malaysia melaporkan mengenai penubuhan LPHJ.

Anwar seperti dilaporkan portal pro pembangkang, Malaysiakini berkata, NGO yang memperjuangkan hak Melayu terutama Isma sebaliknya akan lantang mengkritik sekiranya perbuatan tersebut dilakukan melalui medium parti pembangkang.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, hanya pemimpin seperti Anwar sahaja yang melenting dalam isu tersebut sedangkan pemimpin daripada parti lain seperti Pas mengambil pendekatan rasional dan turut menegur penubuhan LPHJ.

"Apabila semua perkara ada kepentingan politik, Anwar bukan sahaja tidak memahami isu yang berlaku sebaliknya dia akan mengambil kesempatan untuk meraih sokongan sedangkan diri sendiri tidak sempurna malah pernah mempersoalkan peranan raja," tegas beliau. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.