Pilihanraya kecil Teluk Intan yang menyaksikan DAP mencalonkan Dyana Sofya, anak seorang bekas pemimpin serta masih ahli UMNO membuatkan parti itu bagaikan terkena renjatan letrik. Ramai pemimpinnya terkejut, melatah, cuba menunjuk pandai dan tidak kurang ada yang cuba berlagak "macho" seperti seorang lelaki budiman yang dahagakan perhatian.
Ada
pemimpin muda yang pantas cuba menyelar calon DAP itu sebagai tidak
mengenang budi UMNO dan ada pula yang memintanya mendesak MCA yang
memiliki Universiti Tunku Abdul Rahman agar turut mengamalkan dasar
terbuka.
Hanya
setelah diselar oleh orangramai bahawa UiTM adalah milik kerajaan dan
bukannya milik UMNO dan dasar kerajaan pula mahu rakyat berilmu dan
berpendidikan tanpa mengira parti mana yang mahu dipilih sebagai
landasan perjuangan apabila tamat pengajian, pemimpin UMNO terbabit
sekarang ini sudah hilang tanpa berani bersuara lagi.
Seorang
timbalan menteri yang mengaitkan MCA pula, apabila diselar kembali oleh
Presiden MCA sambil diberiksn fakta bahawa UTAR adalah universiti yang
terbuka kepada semua kaum tetapi mengambil kira soal merit dan
kecemerlangan akademik, turut terdiam entah ke mana sekarang ini.
Ketua
Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga menyentuh pencalonan Dyana yang
mendapat liputan meluas media dengan meminta pengundi menilai bahawa
pilihanraya kecil ini bukanlah pertandingan ratu cantik dan pengalaman
sepatutnya lebih diambil kira.
Bagaimanapun
apabila beliau juga dilibas balik bahawa beliau juga dulunya tiada
pengalaman dan markahnya lebih dinilai berdasarkan kedudukannya sebagai
menantu Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu serta pemilihan
Dyana sebagai calon adalah proses memberinya pengalaman, KJ juga
nampaknya tidak berani berhujah lagi.
Ketua
Wanita UMNO, Shahrizat Jalil juga memberi reaksi yang mengaitkan
pemilihan Dyana hanya sebagai boneka DAP dan untuk menarik sokongan
pengundi Melayu semata-mata, malangnya apabila isu lembu NFC dan
kegagalan Wanita UMNO sendiri menonjolkan ramai wanita muda sebagai
calonnya dijadikan peluru menembak balas, beliau nyata semakin
menyerlahkan kegagalannya. Lebih dari itu, ramai yang meminta Ketua
Wanita UMNO itu agar kurang bercakap dah lebih baik berehat saja di
Kuala Lumpur bagi mengelakkan keceluparannya membuatkan calon BN lebih
ditimpa malang.
Abdul
Rahman Dahlan, menteri dari Sabah pula cuba bersikap "macho" dengan
menulis di twtternya yang menggambarkan pemilihan Dyana sebagai calon
DAP yang mewakili golongan muda haruslah diraikan.
Selain
ramai pemimpin UMNO lain yang turut mengulas pemilihan Dyana sebagai
calon dan kedudukannya sebagai anak orang UMNO, bekas Perdana Menteri,
Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mahu memberi respon sama. Sambil
menyatakan pemilihannya sebagai hiasan luaran, Mahathir juga
menyalahkan kecondongan Dyana memilih DAP sebagai wadah perjuangan
kerana kegagalan ibu bapa memberitahu tentang sejarah, perjuangan dan
jasa-jasa UMNO kepada anak-anak mereka.
Namun
demikian, ibu Dyana iaitu Yammy Samat segera menyindir Mahathir dengan
mengatakan beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi seperti Mukhriz tetapi
apakan daya kerana akhirnya memilih untuk menjadi seperti Marina
Mahathir.
Dalam
masa yang sama, hari ini Marina yang sering kelihatan berbeza pendirian
dengan bapanya, turut memuji Dyana sebagai calon yang sangat bijak,
boleh berfikir, petah berkata-kata serta boleh menulis dan kelebihannya
ini menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik yang lain.
Hanya
Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang belum mengulas
mengenai Dyana ini. Mungkin selepas kembali daripada luar negara dan
tidak lagi dibelenggu kesibukan nanti, Najib juga turut terghairah mahu
bercakap mengenai Dyana dan Teluk Intan.
Kesimpulan
daripada semua reaksi pemimpin UMNO itu ialah mereka semua terkejut dan
akhirnya melatah dengan kehadiran Dyana sebagai calon DAP. Bukan saja
kedudukannya sebagai wanita muda dan cantik menjadi perhatian, malah
latar belakang ibunya sebagai bekas pemimpin dan masih ahli UMNO turut
menjadi perdebatan.
Ketika
penamaan calon dan berkempen di mana kehadiran Yammy yang sentiasa
menemani anaknya menjadi persoalan sehingga timbul desakan agar beliau
dipecat daripada UMNO, suasana kempen juga sehingga hari ini masih lagi
berkisar mengenai peribadi Dyana dan ibunya. Serangan berbentuk peribadi
jelas lebih kerap kedengaran sehingga jentera BN terlihat seolah-olah
lupa untuk menyerang dasar dan ideologi DAP dan menonjolkan calon mereka
sendiri, Mah Siew Keong.
Walaupun
ada desakan daripada Veteran UMNO dan juga Mubarak agar ibu Dyana
dipecat daripada UMNO tetapi TPM, Muhyiddin Yassin nampaknya masih lagi
rasional dengan mengatakan perkara itu tidak menjadi pertimbangan kerana
sebagai ibu adalah menjadi hak Yammy untuk menemami anaknya yang masih
bujang itu.
KJ pula
cuba bersikap budiman dengan menyokong pendirian Muhyiddin itu dan
mengatakan isu memecat ibu Dyana bukan menjadi keutamaan kepada UMNO
ketika ini.
Soalnya
benarkah Yammy tidak akan dipecat? Bagaimana selepas pilihanraya Teluk
Intan berakhir nanti, lebih-lebih lagi jika calon BN tewas?
Jika
mengikut perlembagaan UMNO, memang tiada peruntukan khusus untuk
mengambil tindakan kepada seorang ibu yang menemani anaknya yang menjadi
calon parti lawan. Yang ada berkaitan tanggungjawab dan hak ahli
hanyalah fasal 6.1.4 iaitu "menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi
tata etika, perintah-perintah dan disiplin parti" serta fasal 6.1.5 yang
berbunyi "menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam
pilihanraya".
Jelas
bahawa peruntukan dalam perlembagaan ini agak longgar dan boleh
dipertikaikan. Walaupun veteran UMNO bertegas bahawa Yammy melanggar
perlembagaan parti manakala Mubarak pula mengatakan Yammy hanya boleh
berdoa untuk anaknya tetapi tidak boleh menonjolkan dirinya secara
terbuka tetapi memandangkan Dyana masih muda dan bujang lagi, keperluan
ibunya disisi tidak boleh diremehkan dari segi kemanusiaan dan budi
bicara.
Selain
faktor kemanusiaan dan tidak mahu bersikap kejam yang mungkin
memburukkan lagi peluang BN memenangi pilihanraya kecil ini, kelonggaran
dalam perlembagaan UMNO sendiri barangkali menjadi pertimbangan
Muhyiddin. Walaupun ahli UMNO dimestikan menyokong calon parti dalam
pilihanraya, apakah sekadar menjadi peneman anak yang masih bujang dan
dalam tangungjawab ibu bapa boleh dikategorikan sebagai melanggar
perlembagaan?
Oleh
kerana kes seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan pemimpin
UMNO juga tidak terfikir ada anak orang UMNO bakal menjadi calon parti
lawan kerana merasakan UMNO itu bagaikan agama yang mesti dianuti oleh
semua anak dan keluarga ahli serta pemimpinnya, maka itu sebabnya
barangkali tiada pengkhususan dalam perlembagaan UMNO itu.
Tetapi
dengan peredaran masa dan generasi muda makin terbuka serta pelbagai
seleranya, keadaan ini tidak mustahil menjadi tambah meluas. Jika
sebelum ini hanya adik-beradik Shahrir Samad dan Khalid Samad serta
pasangan suami isteri di Sabah yang berbeza parti menjadi perhatian,
kini nyata berlaku perbezaan parti antara ibu dan anak serta ibu menjadi
peneman anaknya pula.
Di masa
akan datang, bukan saja berbeza anutan parti ini menjadi biasa dalam
keluarga, bahkan mungkin dalam keluarga pemimpin UMNO pun tiada yang
sekata lagi. Dalam masa yang sama, penglibatan ibu, bapa, suami atau
isteri, adik-beradik dan sebagainya dalam menyokong ahli keluarga yang
berbeza parti yang bertanding dalam pilihanraya turut bukan lagi sesuatu
yang luar biasa.
Adakah
ini akan mendorong UMNO untuk meminda perlembagaannya dan memberi
tafsiran yang lebih khusus mengenai tanggungjawab dan hak seseorang
ahlinya?
Walaupun
Muhyiddin turut kelihatan budiman dan ada budi bicara yang tinggi dalam
hal ini tetapi kekalahan calon BN di Teluk Intan nanti boleh saja
membuatkannya berubah nada. Sementara kedudukan ibu Dyana bakal jadi
perhitungan sebaik pilihanraya kecil ini berakhir, UMNO juga dipercayai
akan bergerak selangkah lagi dengan memberi tafsiran semula yang lebih
detail dan terperinci dalam perlembagaan mengenai apa yang boleh dan
tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahlinya.
Dyana Sofya dan Yammy benar-benar memberikan kejutan kepada UMNO.
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.