Setiausaha Ulama Muda Umno (Ilmu), Mohd Radzi Othman digesa menarik balik kenyataannya berkenaan muslimah yang turun berdemonstrasi seperti pelacur kelas atasan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, berkata Dewan Muslimat PAS Pusat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Radzi jika beliau enggan berbuat demikian, selain memohon maaf kepada semua wanita yang hadir ke demonstrasi tersebut.
"Jika beliau enggan menarik balik kenyataan biadapnya itu dan memohon maaf, Dewan Muslimat PAS Pusat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya, lapor Harakahdaily.
Sebelum ini, Radzi melalui laman mikro twitnya menyamakan wanita Islam bertudung labuh yang turun ke Himpunan Bantah GST 1 Mei lalu sebagai pelacur kelas atasan.
Dalam beberapa entri tulisannya pada 2 Mei lalu, Radzi antara lain menulis: ”Lelaki yang menyokong muslimah tudung labuh untuk keluar demonstrasi ibarat para pelanggan pelacur yang ghairah untuk merasai pelacur-pelacur yang akan dilanggannya”.
Beliau juga menulis:"Muslimah tudung labuh yang berdemonstrasi adalah setaraf dengan para pelacur golongan atasan. Nak saya samakan para muslimah kaki demo ini dengan martabat Ummul Mukminin? Jangan harap!"
Siti Zailah berkata, pemimpin pelapis seperti Radzi ini akan lebih merosakkan agama dan masa depan negara kerana kenyataan sedemikian akan menyebabkan negara berdepan dengan kehancuran.
Beliau berkata, kenyataan Radzi itu adalah ucapan kotor dan tidak bermaruah bagi seseorang yang sepatutnya menonjolkan akhlak baik sebagai seorang yang bersandarkan 'title' beragama dan berilmu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.