Followers

Friday, May 23, 2014

Tindakan Tidak Bijaksana Pemuda UMNO 'Membunuh' Calon BN Di Teluk Intan

 
Ekoran tindakan ADUN DAP Seri Delima, R.S.N Rayer yang menggelarkan "UMNO celaka", Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan pada hari semalam telah mengadakan demonstrasi yang agak ganas di hadapan ibu pejabat DAP sebagai tanda bantahan. Kumpulan ini bukan saja membawa sepanduk yang mengecam DAP dan Rayer tetapi juga bertindak merosakkan papan tanda besar berlambangkan roket kepunyaan parti itu.


Lebih dari itu, mereka juga mengugut mahu membakar-hanguskan ibu pejabat DAP jika perkara yang sama berulang lagi di masa hadapan.

Selain mengadakan aksi demonstrasi dengan membawa imej marah, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Mohd Rafi yang mengetuai kumpulan itu turut bertemu dengan wakil DAP untuk menyatakan bantahan mereka dan menyerahkan memorandum. Bagaimanapun, memorandum yang mahu diserahkan itu kemudiannya dikoyakkan dan dicampakkan ke lantai.

Dengan kemarahan yang masih belum reda, dalam pertemuan dengan wakil DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming itu, Mohd Razlan juga terus meluahkan kemarahan dan maki hamunnya tanpa membenarkan wakil DAP itu menjawab atau memberi apa-apa penjelasan. Ong Kian Ming hanya diminta diam dan mendengar saja bebelannya.

Tetapi, walaupun Ong Kian Ming adalah seorang Ahli Parlimen, beliau kelihatan tenang dan senyum saja.

Tindakan Pemuda Wilayah Persekutuan itu menimbulkan perdebatan di mana ada yang memuji keberanian dan kelantanganya dan ada pula yang menyifatkannya keterlaluan. Keterlaluan bukan saja melalui tindakan merosakkan papan tanda dan membebel tanpa membenarkan orang lain menjawab, berhujah dan memberi penjelasan tetapi juga kerana mengoyakkan memorandum itu.

Buat apa menyiapkan dan membawa memorandum jika akhirnya hanya dikoyakkan?

Secara umumnya, kalau pun mahu dikatakan tindakan itu suatu bentuk keberanian, ia bolehlah juga dianggap demikian. Tetapi ia mungkin keberanian tahap empat saja kerana dipenuhi emosi dan tidak disertai dengan kebijaksanaan. Politik bukanlah seni yang memerlukan keberanian semata-mata tetapi akal dan kebijaksanaanlah yang selalu meletakkan seseorang itu di depan.

Ada ahli politik yang kelihatan diam, tetapi oleh kerana dia bijaksana maka dia sering mendapat tempat, kedudukan dan disanjung. Mereka ini bertindak hanya di ketika kebijaksanaannya dapat ditonjolkan saja. Ada pula pemimpin yang berani dan bijaksana, dan golongan ini sentiasa mendapat tempat, kedudukan dan pujian. Tetapi pemimpin yang hanya berani dan tidak bijaksana, selalunya hanya umpama daun kari saja. Ia hanya untuk perhiasan dan hampir dalam semua keadaan akan diketepikan akhirnya.

Tidaklah salah mengadakan demonstasi dan meluahkan kemarahan kerana ia memang lumrah dan dibenarkan oleh undang-undang tetapi bukankah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri selalu berkata, politik adalah berkaitan dengan kekuatan ilmu dan berhujah?

Setelah berdemo dan meluahkan kemarahan, kenapa pula tidak berani berhujah dan hanya mahu wakil DAP itu diam saja? Kenapa juga memorandum itu tidak diserahkan dengan baik?

Kalau yakin dengan kebenaran, kenapa pula takut dengan jawapan?

Dalam banyak demonstrasi sebelum ini, baik di hadapan Kedutaan Amerika, Australia, Great Britain dan sebagainya yang diketuai oleh KJ sebelum ini, walaupun beliau juga beraksi dengan gaya marah dan darah yang sedang meluap-luap, tetapi memorandum tidak pernah dikoyak atau dicampakkan. Ini kerana memorandum adalah isi hati yang mengandungi hujah dan fakta yang menggambarkan ketinggian akal fikiran seseorang atau sesebuah parti dalam isu yang diperjuangkan.

Bagaimana perasaan kita mahu dibaca dan difahami oleh pihak lain jika memorandum pun dikoyakkan yang seolah-olah ianya tidak mahu dibaca?

Dalam masa yang sama, aksi demonstrasi ini juga diadakan ketika suasana kempen pilihanraya di Bukit Gelugor dan Teluk Intan. Sudah tentulah aksi tersebut memberi gambaran yang kurang baik mengenai UMNO kepada pengundi Cina, pengundi Melayu serta juga pengundi muda di kedua-dua kawasan itu, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama juga memperlihatkan wakil DAP dan Cina yang menyambut aksi demonstasi itu hanya senyum dan tenang saja.

Oleh kerana DAP bertanding di kedua-dua kawasan itu,wajah tenang dan senyum wakil DAP sementara wakil Pemuda UMNO pula kelihatan ganas dan takut berhujah, Pemuda UMNO seperti sedang membunuh calon partinya sendiri dan mahu DAP memenangi pilihanraya itu.

Selain itu, keberanian Mohd Razlan dan Pemuda Wilayah Persekutuan ini juga sudah terlewat sebenarnya, lantaran sebelum ini Pemuda UMNO Pulau Pinang telah pun mengadakan aksi yang cukup tidak bertamadun dengan merempuh pagar, menceroboh tempat persidangan DUN Pulau Pinang serta memijak meja yang dikhaskan untuk Speaker untuk meluahkan kemarahan terhadap kenyataan "UMNO celaka" oleh Rayer itu.

Tempat bersidang wakil-wakil rakyat sama ada di DUN mahupun Parlimen adalah tempat yang mulia dan dimuliakan. Disitulah undang-undang, akta dan peraturan dalam bernegera dibentuk serta diluluskan. Jika wakil rakyat yang bertindak kurang sopan atau mengeluarkan perkataan kesat pun dilarang di dalam dewan yang mulia itu, sudah tentulah perbuatan menceroboh dan memijak meja Speaker lebih besar lagi dosa dan salahnya.

Dengan ini, sudahlah perbuatan di DUN Pulau Pinang itu tidak boleh diterima, menutup kesilapan itu dengan apa yang ditunjukkan oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, nyata lebih menghodohkan wajah UMNO dan sayap Pemudanya.

Pemuda UMNO dilihat cuba menutup kesilapan dengan perbuatan yang silap juga. Dalam masa yang sama, saranan berulangkali kali KJ bahawa pendekatan hujah, akal fikiran dan kebijaksanaan hendaklah dimartabatkan dalam perjuangan dunia baru yang makin mencabar ini seolah-olah tidak difahami oleh peringkat bawahannya sendiri.

Kecualilah jika Pemuda UMNO hanya selesa menjadi kaun kari saja. 

 
(SH 23/05/2014)
Posted by Shahbudin Husin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.