Tanggapan bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam membantu membangunkan usahawan Bumiputera adalah tidak tepat, sebaliknya usaha tersebut dilakukan secara berterusan sejak dahulu lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).
Beliau berkata hanya disebabkan masalah berlarutan yang dialami oleh usahawan ini yang sedang ditangani kerajaan, timbul dakwaan bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha tersebut.
"Sebagai bukti, jumlah usahawan Bumiputera semakin bertambah jika dibandingkan 20 hingga 30 tahun dahulu," kata beliau ketika berucap sebelum merasmikan Program Pemerkasaan Ekonomi Melayu & Bumiputera Menerusi Keusahawanan di Pagoh, Johor, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Program itu dianjurkan bersama Biro Ekonomi Umno Bahagian Pagoh dan Tekun Nasional.
Muhyiddin berkata kelemahan dan kegagalan sesetengah usahawan Bumiputera tidak harus dijadikan "bukti" sehingga menimbulkan persepsi salah yang kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha membangunkan usahawan ini.
Beliau berkata usaha berterusan dilakukan kerajaan sejak dahulu lagi telah mendatangkan impak yang besar, terutamanya dengan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera tahun lepas yang mengenal pasti peluang serta langkah bersesuaian bagi membantu usahawan.
Sehubungan itu, beliau meminta dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk tampil memberi pandangan bagi mengenal pasti isu dan masalah yang sering dihadapi oleh usahawan Bumiputera.
Beliau berkata dengan mengadakan dialog bersama pihak berkaitan, di samping usaha berterusan daripada kerajaan, sasaran pemilikan 30% ekuiti Bumiputera daripada hampir 24 peratus ketika ini, akan dapat dicapai menjelang tahun 2020. – Bernama
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.