Bekas Setiausaha
Agung Umno, Tan Sri Sabbaruddin Chik membayangkan Datuk Seri Najib Razak
akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya tiada
sokongan pengundi muda.
Sabaruddin berkata, generasi muda tidak lagi bodoh dan keputusan lebih
buruk akan menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) sekiranya tiada
perubahan dalam pentadbiran Najib.
"Pilihan raya umum seterusnya, saya takut kalau kita tidak buat sesuatu, kita akan terima lebih banyak azab.
"Orang muda, tidak banyak, banyak generasi Y ini tidak bersama dengan
kita," kata Sabbaruddin dalam satu wawancara eksklusif bersama The
Malaysian Insider baru-baru ini.
Menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 lalu (PRU13) lalu sebagai
paling teruk, Sabaruddin tidak menolak dalam pilihan raya akan datang BN
akan hilang setengah kerusi di Parlimen yang mereka miliki ketika ini.
"Kalau tidak ada perubahan yang serius, kita akan hilang setengah,
sekarang dua pertiga," katanya yang pernah memegang jawatan setiausaha
agung Umno pada 1996.
Sabaruddin berkata, isu rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran antara faktor utama penolakan generasi muda.
"Rasuah, ketirisan dan ketelusan perlu ditekankan," katanya.
Pentadbiran Najib tercalar dengan beberapa isu ketirisan, beberapa
laporan Ketua Audit Negara beberapa tahun kebelakangan ini mencerminkan
ketempangan dalam pentadbiran beliau.
Malah, Laporan Ketua Audit Negara 2013 baru-baru ini juga tidak mencerminkan imej transformasi, apabila beberapa kontroversi ketirisan didedahkan dalam laporan tersebut.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga terpaksa memanggil lima
kementerian untuk memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit
Negara 2013 Bagi Siri Pertama.
Usaha Najib untuk memulihkan imej bersih pentadbirannya menerusi Program
Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2009 juga tidak berjaya.
Namun, laporan yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia
(TI-M) bagi 2013 menunjukkan Malaysia hanya memperbaiki kedudukan satu
anak tangga, naik daripada kedudukan 54 ke 53 berbanding 2012.
Kedudukan tersebut tidak berjalan seiring dengan transformasi yang dilaungkan oleh perdana menteri.
Mengenai kedudukan Najib sebagai perdana menteri walaupun prestasinya
lebih buruk jika dibandingkan dengan perdana menteri sebelumnya, Tun
Abdullah Ahmad Badawi, Sabbaruddin berkata Najib bernasib baik.
"Najib bernasib baik kerana ambil alih daripada Pak Lah, jika beliau
ambil alih daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pasti dia pun
kena letak jawatan.
"Najib bernasib baik, tapi beliau tidak boleh bergantung dengan nasib," katanya.
Abdullah terpaksa melepaskan jawatannya pada 2009 susulan tekanan
daripada perdana menteri paling lama berkhidmat itu dan pemimpin Umno
lain akibat keputusan buruk pilihan raya umum pada 2008.
Walaupun prestasi Najib lebih buruk berbanding Abdullah, beliau masih
terselamat kerana tiada desakan untuk menurunkannya daripada tampuk
kuasa walaupun pada awalnya desas-desus mengatakan ada usaha sedemikian.
Sabbaruddin berkata, tindakan mendesak Abdullah meletak jawatan tersebut sebagai tidak wajar dilakukan.
"Sepatutnya, Pak Lah dahulu tidak disuruh pun letak jawatan.
"Pak Lah tidak bernasib baik sebab ambil alih daripada Dr Mahathir kerana ketika itu beliau masih sangat kuat," katanya.
Sabbaruddin berkata, ketiadaan tokoh dan penganti yang berkemampuan
dalam Umno juga punca tiada sesiapa yang berani mendesak Najib daripada
meletak jawatan.
"Najib kurang tapi tiada sesiapa yang suruh beliau undur.
"Bukan selesa atau tiada yang mahu Najib diganti, tapi orang Umno takut
kalau dia dipaksa pergi siapa hendak ganti beliau," katanya.
Genap setahun PRU13 pada 5 Mei lalu, pentadbiran Najib dilihat lemah dan
tidak berfungsi dengan sepenuhnya, pengkritik dan pemerhati politik
negara berkata ia berpunca daripada keputusan pilihan raya tersebut.
Najib mendapat mandat pertamanya secara rasmi selepas memenangi 133
kerusi Parlimen daripada 222 jumlah kerusi keseluruhan, namun keputusan
itu masih buruk kerana BN hilang undi popular buat kali pertama.
Najib juga ketika ini bergelut dengan tekanan dan bahang kemelut melibatkan isu kaum dan agama yang masih tiada penghujung.
Kewujudan kumpulan ekstremis seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menurut pengkritik berpunca
daripada kelemahan yang datang daripada pentadbiran Najib sendiri. – 29
Mei, 204.- TMI
Mimpi Senja
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.