Followers

Thursday, May 15, 2014

Mereka Tak Terima Imbuhan Untuk Kembali Ke Pangkuan Umno


Adun Bukit Besi, Roslee Daud nafi terima habuan untuk kembali kepada Umno. Gambar astroawani.com.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud yang membuat keputusan menarik balik keputusan keluar Umno semalam menafikan menerima sebarang imbuhan untuk kembali semula ke pangkuan parti itu.


Pagi semalam, Roslee mengumumkan keluar parti bersama bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib tetapi tidak lama kemudiaan mengubah fikiran.

"Ini yang sedihnya, apabila kita buat macam ini orang ingat kita dapat imbuhan, apabila kita tarik balik kata ada habuan.

"Tidak ada, tidak ada semua itu," kata Roslee yang ditemui selepas sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, tengah hari tadi.

Roslee sebaliknya berkata, keputusan tersebut dibuat atas semangat setiakawan dengan parti.

"Ini adalah keputusan yang saya ambil, atas semangat setiakawan demi meneruskan perjuangan saya dalam Umno.

"Umno tidak pujuk, ini keputusan yang saya buat sendiri," katanya.

Roslee juga mengakui keliru pada awalnya dengan keputusan tersebut, khususnya selepas Ahmad dan rakannya Ghazali mengumumkan keluar parti.

"Saya keliru, bila jadi macam itu pelbagai perkara boleh berlaku.

"Ini datang daripada hati saya sendiri," katanya.

Mengenai hubungan beliau dengan Ahmad yang mungkin keruh akibat tindakan menarik balik keputusan tersebut, Roslee berkata, beliau akan berjumpa sendiri untuk membuat penjelasan.

"Saya akan jumpa dengan beliau (Ahmad) untuk berbincang dan jelaskan kepadanya," katanya.

Beliau juga meminta maaf kepada pengundi dan orang ramai atas kekecohan yang dicetuskannya semalam.

"Saya minta maaf kepada masyarakat terutama pengundi dan ahli parti atas keputusan yang saya buat.

"Perkara sudah selesai, saya kembali untuk bersama berjuang demi memartabatkan bangsa, agama dan negara," katanya.

Roslee hadir bersama Menteri Besar Terengganu baharu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman bersama 13 Adun lain di Putrajaya untuk bertemu dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan keluar parti oleh tiga Adun tersebut semalam menyebabkan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai oleh Barisan Nasional di Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusinya sama dengan Pakatan Rakyat (PR).

Malah, PAS yang memiliki 14 kerusi dalam DUN juga awal-awal lagi berkata akan memanggil sidang tergempar bagi mendapatkan undi tidak percaya ke atas BN.

PAS mengintai peluang untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan untuk memilih semula pemerintah negeri dan menteri besar.

Sebelum kekecohan berlaku, BN menguasai DUN dengan 17 kerusi, manakala PR mempunyai 15 wakil, 14 Adun PAS dan seorang Adun PKR


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.