Krisis peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai
Menteri Besar Terengganu belum berakhir, sebaliknya babak kedua baharu sahaja
bermula dan mungkin menjadi lebih buruk, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu,
Azan Ismail.
Katanya, terdapat desas desus tiga Adun yang mengikuti Ahmad
Said dan keluar daripada Umno dijanjikan jawatan sebagai Exco sekiranya kembali
semula ke pangkuan parti itu.
“Ini menimbulkan rasa sangat tidak berpuas hati di kalangan
Adun yang tidak dilantik sebagai exco dan menyebabkan muncul beberapa kumpulan
kecil (di kalangan Adun).
“Jadi masalah ini tak akan selesai, malah akan memburukkan
suasana. Babak kedua adalah apabila pelantikan exco baru menggantikan exco yang
lama.
“Episod ketegangan dan pergaduhan mungkin lebih berpanjangan.
Babak kedua ini akan diikuti babak ketiga di dalam DUN apabila menteri besar
yang baru akan diuji dengan undi tak percaya,” ujar Azan.
Katanya, sama ada undi tidak percaya itu diusulkan Pakatan atau
BN sendiri, beliau yakin kalangan ADUN yang tidak terpilih sebagai exco akan
memberontak.
Selain itu, katanya, Umno kini bimbang jika pihak tertentu
membawa kes itu ke mahkamah berikutan keputusan Ahmad Said bersama tiga lagi
Adun mengisyitiharkan diri mereka sebagai Adun bebas baru-baru ini.
“Dari segi perundangan, BN tidak punya hak memerintah
Terengganu kerana beberapa Adun menjadi bebas dan mereka hilang kuasa majoriti.
Mereka bimbang jika ada pihak tertentu usul ke peringkat mahkamah dan menjadikan
isu ini isu perundangan.
Kerajaan negeri yang ada tak boleh bertahan lama
selagi tidak mendapat fresh mandate daripada rakyat,” ujarnya.
Azan yang juga Adun Bandar berkata, episod di Terengganu
kini dilihat menjadi lebih parah apabila terdapat pegawai kerajaan negeri
ditukar kerana dilabel pengikut setia Ahmad Said.
“Mereka ini dilabelkan sesetengahnya masih bersama bekas
menteri besar.
Pertukaran pimpinan adalah perkara biasa, tetapi pertukaran dan
pemecatan pegawai kerajaan tidak ubah seperti mengulangi kesilapan pertama
dengan menukar Ahmad Said sebagai MB serta merta,” katanya menganggap keputusan
itu politik balas dendam oleh menteri besar yang baharu, Datuk Abdul Razif
Abdul Rahman.
Beliau merujuk tiga pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar
yang ditukar berkuatkuasa 14 Mei lalu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif
Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Datuk Wan Ahamad Wan Muda yang ditukar
sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.
“Sekarang banyak pihak beranggapan, isu ini telah reda. Sebenarnya
ini baru tamat babak pertama kerana babak kedua baru saja bermula,” kata Azan.
Katanya suasana politik di Terengganu ini menyebabkan arahan
daripada pentadbiran kerajaan negeri masih kabur dan tidak jelas, sehingga
mengganggu kelancaran pentadbiran.
“Terdapat politiking dalam jabatan kerajaan atau
perkhidmatan pentadbiran negeri. Ada fail dilapor hilang, surat yang dibatalkan
atau tidak sah.
“Tambahan exco yang ada tidak pasti kedudukan dan nasib
masing-masing. Maka berlaku suasana seperti keretapi yang terputus kepala, huru
hara dan kelicinan pentadbiran tidak berlaku,” ujar Azan.
“Saya melihat bahawa ujian sangat getir jelas diletak kepada
menteri besar yang baru yang tidak mempunyai pengalaman dan hanya dua penggal
sebagai Adun.
Dia kini diberi tanggungjawab sebagai MB dan memasuki pejabat MB
dalam suasana yang genting dalam krisis sebegini,” ujarnya.
Pengerusi Keadilan Terengganu
Azan Ismail
Tikaqbuloh.blogspot
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.