Siapa
calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang bakal
bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei
depan sudah pun diketahui.
DAP yang mewakili PR memutuskan untuk meletakkan seorang yang masih
muda, Dyana Sofya yang baru berusia 27 sebagai calonnya manakala BN yang
diwakili Gerakan pula mengekalkan calonnya yang kecundang dalam
pilihanraya umum lalu, Mah Siew Keong sebagai pilihannya.
Dalam pilihan raya umum lalu, calon DAP Seah Leong Peng menewaskan Mah
Siew Keong dan seorang lagi calon Bebas dengan majoriti 7,313 undi.
Dengan masing-masing sudah mengumumkan calonnya, pilihan raya kecil ini
bukan saja menjanjikan persaingan sengit, lebih penting daripada itu
beberapa elemen menarik juga terserlah dalam pilihan raya ini.
Keputusan DAP menukar calonnnya daripada bangsa Cina kepada Melayu dalam
pilihan raya kecil ini jelas suatu keberanian yang mengkagumkan. Apa
pun hujah yang cuba digunakan untuk memperlekehkan keputusan DAP itu, ia
bukan saja untuk membuktikan kepelbagaian kaum dalam parti itu, tetapi
juga merupakah suatu transformasi yang jauh lebih bererti daripada
kata-kata.
Berbanding BN yang sudah banyak kali mengeluarkan cadangan mahu menukar
kebiasaan meletakkan calon daripada parti yang sama berdasarkan
keperluan sesuatu kawasan itu, malangnya ia tidak pernah dipraktikkan.
Jika calon MCA meninggal, orang daripada parti yang sama juga akan
dikekalkan. Begitu juga jika terjadi kepada Umno, Gerakan atau MIC.
Malah jika yang meninggal atau meletakkan jawatan itu Melayu, maka
Melayu juga gantilah. Jika Cina atau India pula yang pergi, yang
mengganti juga kaum yang sama.
Laungan dan cadangan untuk melakukan perubahan tidak pernah menjadi
kenyataan kerana BN tidak punya keberanian untuk berbuat demikian.
Walaupun banyak desakan akar umbi menuntut perubahan itu, BN lebih
selesa terkongkong dalam kepompong yang memenjarakan mereka dengan
tradisi lama.
Ini jelas berbeza dengan PR. Dalam waktu terdekat ini, sudah dua kali
mereka melakukan perubahan dan menunjukkan batasan kaum bukanlah
persoalan dalam memupuk keharmonian dan kesatuan serta mencipta
kemenangan.
Dalam pilihan raya kecil DUN Kajang bulan lalu, apabila Lee Chin Cheh
meletakkan jawatan, calon yang menggantikan tempatnya ialah Melayu iaitu
Dr Wan Azizah yang mengambil alih tempat Anwar Ibrahim kerana adanya
halangan undang-undang untuk bertanding.
Namun, PR masih mampu mengekalkan kemenangan cemerlangnya.
Dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, giliran DAP pula melakukan
pembaharuan dan transformasi. Walaupun sejak dua penggal lalu, DAP
meletakkan bangsa Cina di kawasan itu, namun kali ini parti itu
menunjukkan keberaniannya dengan meletakkan calon Melayu pula.
Dengan komposisi pengundi Cina 42%, Cina 38% dan India 19% serta
kemenangan dalam pilihan raya lalu hanya dengan majoriti 7,313 undi
serta cabaran yang bakal dihadapi pula ialah calon daripada parti
kerajaan yang tentunya banyak jentera dan peruntukan kewangan bakal
diturunkan, keberanian DAP ini seharusnya diberikan pujian dalam konteks
memupuk perpaduan dan keharmonian.
Bilakah BN ada keberanian seperti ini?
Selain itu, keberanian DAP juga terserlah apabila memlilih Dyana Sofya
yang hanya berusia 27 tahun sebagai calonnya. Berbanding calon Gerakan
yang sudah berusia 53 tahun, pemilihan seorang anak muda ini sekali lagi
mempamerkan keberanian DAP yang menunjukkan mereka sebuah parti yang
memandang ke hadapan.
Di manakah tempatnya seorang anak muda berusia 27 jika di dalam Umno
atau parti-parti komponen BN yang lain? Mungkin hanya menampal poster
dan menjalankan kerja-kerja tidak penting saja.
Sementara para pemimppin Umno, BN dan kerajaan menyedari nipisnya
sokongan pengundi muda kepada mereka serta menyedari hampir separuh
daripada pengundi dalam pilihan raya akan datang adalah golongan muda
serta 3.5 juta adalah pengundi yang pertama kali menunaikan
tanggungjawab, malangnya majoriti calon BN yang ada sudah menginjak
senja.
Kecuali Khairy Jamaluddin, Razali Ibrahim dan beberapa kerat yang lain,
majoriti wakil rakyat dalam BN adalah golongan berusia dan sudah senja
tetapi masih mahu mendakap kuasa.
Berbanding dengan PR pula, kecuali beberapa kerat seperti Anwar Ibrahim,
Lim Kit Siang dan Hadi Awang, majoriti yang selebihnya adalah golongan
muda dan masih belia.
Lantaran itu, tidak hairanlah jika pengundi muda lebih tertarik kepada PR berbanding BN.
Jika sebelum ini PR sudah ada Rafizi Ramli, Nurul Izzah serta beberapa
yang lain sebagai ikon golongan muda, penampilan Dyana Sofya menambahkan
bilangan dan cengkaman mereka kepada golongan tersebut. Tetapi siapa
ikon golongan muda yang ada dalam BN?
PRK Teluk Intan dan keberanian DAP menonjolkan Dyana Sofya, semoganya
memberi banyak kesedaran kepada Umno dan BN jika ingin terus berkuasa
lagi.
– shahbudindotcom
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.