Kecoh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini, segerombolan manusia
menggegar-gegar pagar besi bangunan itu, meraung-raung mahu masuk ke
dalam. Sebelum itu, gerombolan ini sudah bikin demonstrasi di luar
Dewan, di jalanraya – aktiviti yang mereka sendiri selalunya tidak suka
kalau dibuat penyokong Pakatan.
Mereka susun beberapa biji telur di tepi pagar Dewan. Pada telur-telur
itu tertulis kata-kata yang tidak elok untuk dituliskan di sini,
ditujukan kepada ADUN DAP Sri Delima saudara R. S. N. Rayer.
Gerombolan ini kononnya marah dengan Rayer kerana kononnya si Rayer sudah berkata ‘UMNO celaka’.
Walaupun dihalang, gerombolan ini tidak menyerah kalah. Mereka gegar
pagar besi itu sehingga hampir tertanggal, dan menyelitlah beberapa
orang dari kalangan gerombolan itu masuk ke perkarangan DUN Pulau
Pinang. Melanggar beberapa pegawai polis dan anggota keselamatan yang
terus cuba menghalang mereka.
Nak masuk Dewan ini bukan senang. Mesti pakai kemas, tinggalkan kad
pengenalan di kaunter pengawal, dan hanya boleh berada di tempat-tempat
tertentu sahaja. Tak boleh masuk ke kawasan yang dikhaskan untuk ADUN,
petugas media.
Kalau masuk juga, pastilah dihalau pegawai keselamatan.
Namun gerombolan ini nampaknya ada ilmu kebal. Kalau bukan kebal,
barangkali orang melihat gerombolan ini seperti orang gila. Ya lah,
orang gila boleh buat apa sahaja, pergi ke mana sahaja. Tidak ada yang
menghalang.
Maka gerombolan ini seperti buat lawatan sambil belajar, masuk menonong
sampai ke ruang pejabat dan menerjah ke dalam Dewan yang mulia itu
sendiri, terpekik-pekik mencari Rayer. Terguris kononnya hati mereka
kerana Rayer menyebut ‘UMNO celaka’. Tidak tertahan-tahan lagi rasa
marah mereka itu.
Barangkali mereka lupa, rakyat menghamburkan kata makian terhadap UMNO
saban hari, hampir sahaja setiap masa; dan tidak terhad kepada “UMNO
celaka.” Setiap kali mengisi minyak, membayar cukai, membayar bil
elektrik, membeli keperluan harian, rakyat seluruh Malaysia semuanya
maki UMNO.
Dalam keadaan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor semakin hampir ke
hujungnya, semakin galaklah puak-puak ini cuba menimbulkan kekecohan;
menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak mahu keluar mengundi. Taktik
ini sudah dibuat di Kajang. Kita tahu taktik ini, jangan buat berulang
kali.
Tidak cukup semalam calon bebas yang disokong gerombolan
berguling-guling bawah kereta Ketua Menteri macam filem Hindustan, hari
ini pula buat stunt baru untuk tarik perhatian.
Kalau tak mahu dimaki ‘celaka’, bubar sajalah UMNO. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.