Followers

Thursday, May 29, 2014

Jenazah Almarhum Sultan Perak Tiba Di Istana Iskandariah

 

KUALA KANGSAR: Jenazah Sultan Perak Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah, di sini pada pukul 8.15 malam Rabu.

Jenazah Almarhum yang dibawa oleh kenderaan Kementerian Pertahanan dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur disambut Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.

Turut mengiringi adalah kenderaan membawa Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat diraja yang lain. 
Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Shahar Shah tiba di istana pada pukul 9.15 malam. 

Seramai 30 pelajar Ma'ahad Tahfiz Masjid Negeri hadir untuk menyempurnakan majlis tahlil dan bacaan Yasin sepanjang malam ini yang berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Tinjauan Bernama mendapati kenderaan silih berganti keluar masuk istana yang membawa kerabat diraja, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan. 

Laluan utama yang menuju ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di sini ditutup berhampiran menara jam Kuala Kangsar bagi melancarkan lalu lintas. 

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. 

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.