Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata dasar "adil" kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu kejayaan masyarakat Cina di Malaysia selama ini.
Walaupun mengakui usaha dan kemahiran keusahawanan komuniti tersebut menyumbang kepada pembangunan negara, perdana menteri berkata dasar BN yang menjaga keamanan dan keharmonian membolehkan masyarakat Cina berkembang.
"Tetapi kita kena akui, oleh kerana polisi BN yang memastikan keamanan dan keharmonian di Malaysia, memastikan peluang diagihkan secara adil dalam negara menyebabkan kebanyakan orang Cina berjaya di sini," katanya semasa berucap di Perhimpunan Perpaduan MCA di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Parti itu kemudian memutuskan untuk tidak menerima jawatan kabinet dan kerajaan di semua peringkat. Keputusan itu bagaimanapun dikaji balik awal tahun ini menerusi mesyuarat agung luar biasa.
Najib memberi contoh sektor pendidikan yang dilihat sesuatu yang dekat di hati masyarakat Cina, di mana ia mendapat faedah dari dasar negara.
Tambah Najib, tidak ada mana-mana negara selain China dan Taiwan yang memberi tempat kepada pendidikan Cina sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan.
"Nenek moyang kami memilih intergrasi dan bukan asimilasi seperti di Thailand atau Indonesia.
"Kerana itu, kita lihat jumlah sekolah Cina dan sekolah persendirian Cina di Malaysia," kata Najib, yang juga pengerusi BN.
Najib, yang pernah menyandang jawatan menteri pendidikan, berkata beliau mengambil "risiko politik" dalam memansuhkan Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan, yang memberi kuasa kepada menteri menukar taraf sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan.
Dalam mengalu-alukan keputusan MCA kembali menerima jawatan kerajaan, Najib berkata MCA tidak boleh kekal di luar pentadbiran.
"Mereka harus menjadi sebahagian kerajaan BN kerana untuk sama-sama menjadi kuat, mereka harus duduk di dalam kerajaan supaya kita boleh bersama-sama mencorak masa depan negara dan menggubal dasar adil bagi semua.
"Sekiranya masyarakat Cina memerlukan kita mengkaji sesuatu dasar dan sekiranya tuntutan mereka adil, sudah tentu kami akan berikan pertimbangan serius," kata Najib.
Najib berkata krisis kepimpinan MCA telah menyebabkan parti tersebut lemah, dan menyeru agar ahli bersatu semula sekiranya mahu pulih.
"Kita tidak mampu membiarkan MCA terus menjunam, kita mahu MCA terus maju.
"MCA, seperti mana-mana parti, perlu mengurus masalah dalaman, tetapi sekiranya kita tunjukkan semangat baru dan kesungguhan untuk berubah, kita boleh lakukannya," kata Najib.
Beliau juga menyeru parti itu turun padang memastikan komitmen ahli parti dan mula mengenal pasti calon mereka untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14. –TMI
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.