Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini mengeluarkan data satelit belum
diproses Inmarsat setebal 45 muka surat yang diguna untuk mengesan pola
penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.
Dalam kenyataannya, DCA berkata log data komunikasi daripada Inmarsat,
syarikat komunikasi satelit Britain itu, dan keterangan mengenainya,
dikeluarkan untuk membolehkan pembaca memahami data berkenaan.
Menurut kenyataan itu, log data yang disertakan bersama nota tambahan Log Unit Isyarat (9M-MRO) bagi MH370 disediakan Inmarsat.
Berdasarkan nota yang amat bersifat teknikal ini, semua masa adalah
dalam Masa Universal (UTC) dan jadual yang disertakan adalah dalam
bentuk fail log boleh dibaca yang dirakam di stesen bumi untuk
berkomunikasi dengan terminal bagi MH370 dari 16:00 hinggalah ke cubaan
Handshake Request (Log On Interrogation) terakhir pada 01:16 UTC.
Nota itu juga menyebut bahawa beberapa lajur yang tidak mengandungi
maklumat material, dibuang daripada jadual bagi tujuan pembacaan.
Menurut laporan, 19 Mei lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Hussein meminta DCA berbincang dengan Inmarsat tentang
pengeluaran data mentah Inmarsat untuk tatapan umum.
Sejak itu, Inmarsat dan DCA mengambil langkah untuk membolehkan log data
komunikasi dan pemerihalan teknikal tentang analisis berkenaan,
dikeluarkan.
Semalam, Hishammuddin berkata keputusan untuk mengeluarkan data Inmarsat
yang belum diproses itu dibuat untuk memenuhi permintaan anggota
keluarga penumpang serta anak kapal MH370 dan data itu juga boleh
digunakan pakar dari seluruh dunia bagi tujuan analisis.
Awal bulan ini, mereka meminta pihak berkuasa mengeluarkan data
berkenaan bagi membolehkannya dikaji dari segi ketepatan oleh pakar.
Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur
ke Beijing, hilang daripada skrin radar ketika terbang di ruang udara
Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa KL di sini pada 12.41 tengah malam.
Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir
pesawat itu di Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan pada 25 Mac bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan
Lautan Hindi”. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.