Followers

Wednesday, April 16, 2014

YB Nurul desak kerajaan semak semula indeks kemiskinan


PETALING JAYA - PKR mendesak kerajaan mengkaji semula indeks kemiskinan sebenar negara dalam mengejar impian negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar mendakwa jika kadar lama gaji iaitu RM700 sebulan tidak disemak semula, dikhuatiri peratus gaji pekerja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan jatuh daripada 28 peratus pada 2012 kepada 21 peratus pada tahun sasaran.

"Perangkaan ini yang disasarkan Pemandu dalam Program Transformasi Ekonomi mereka, sedangkan di Korea Selatan, pekerjanya membawa pulang gaji sebanyak 45.8 peratus, manakala Singapura pula 42 peratus.

"Malah kadar kemiskinan akan kembali seperti pada 1970 sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi polisi kerajaan," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut masalah hutang isi rumah yang besar pada tahap 140 peratus berbanding pendapatan rakyat Malaysia pada masa ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah menambah, sebanyak 28 peratus daripada KDNK Malaysia disumbangkan oleh gaji dan upah pekerja sementara lebih 67 peratus pula melalui keuntungan perniagaan.

Dakwanya lagi, pemotongan subsidi bahan api akan menyebabkan risiko miskin tegar kepada golongan Bumiputera di bandar dan luar bandar.

"PKR mencadangkan kaedah baharu dibuat Malaysia dalam memastikan masa depan kita terjamin menerusi Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI).

"Ukuran kemiskinan dengan menggunakan garis kemiskinan tidak lagi mencukupi untuk menerangkan dengan jelas tentang kemiskinan," katanya lagi. -Sinar harian

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.