Followers

Tuesday, April 22, 2014

TERKINI DARI BERNAMA...Kerajaan Komited Laksana Pembangunan Seimbang Di Bandar, Luar Bandar - Najib



AGAKNYA BERAPA TAHUN LAGIKAH KITA PERLU BAGI PELUANG KEPADA NAJIB DAN UMNUU UNTUK MEREALISASIKAN KENYATAAN NAJIB INI???

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pembangunan semula Projek Perumahan Awam 1Razak Mansion merupakan bukti manifestasi dan iltizam kerajaan Barisan Nasional dalam melaksanakan konsep pembangunan seimbang bukan sahaja di luar bandar, malah di bandar dan kota raya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ia merupakan usaha kerajaan murni untuk memastikan penghuni dapat menikmati kualiti hidup lebih baik dan selesa.

"Seperti mana kita tahu, kawasan perumahan ini boleh dikatakan dekat di hati saya kerana Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua Malaysia yang juga bapa Najib) pernah menjejakkan kaki ke sini dan seterusnya merasmikan Kawasan Perumahan Awam Razak Mansion kira kira 47 tahun lalu, pada 26 April 1967.

"Masa berlalu, 47 tahun sudah berlalu, maka sudah tiba masanya kawasan perumahan ini yang kini berada dalam keadaan yang agak usang...memerlukan pembangunan semula selaras dengan prinsip 'urban renewal' (pembaharuan bandar) atau 'urban redevelopment' (pembangunan semula bandar)," katanya.

Najib berkata demikian ketika melancarkan majlis pecah tanah dan penyampaian surat pengesahan unit rumah 1Razak Mansion dekat sini Isnin.

Menurutnya, jika kerajaan tidak melancarkan inisiatif seperti itu, ia akan menjurus kepada kewujudan kawasan yang ketinggalan masa dan setinggan di tengah-tengah bandar raya yang pesat membangun.

Pemaju terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Impianika Sdn Bhd akan menanggung sepenuhnya kos duti setem sebanyak RM4,000.

Selain itu, Najib berkata pemilik akan turut diberi imbuhan RM3,000 bagi kos pemindahan iaitu RM1,500 akan dibayar semasa menandatangani perjanjian dan bakinya akan dilangsaikan selepas projek itu siap sepenuhnya.

Beliau menarik perhatian bahawa dalam memastikan rakyat memiliki kediaman yang selesa, kerajaan telah memperkenal pelbagai projek perumahan antaranya Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, dan di bawah program itu, pihak pemaju layak memohon dana mudah cara sebanyak 10 peratus daripada kos projek.

Selain itu, katanya kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi dana mudah cara perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan untuk melayakkan pemaju menerima geran itu, mereka mesti mematuhi syarat-syarat harga jualan rumah yang ditetapkan kerajaan.

"Di samping itu, RM100 juta telah disediakan untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan keselesaan penghuni rumah awam.

"Antara langkah-langkah yang kerajaan sedang lakukan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, membersihkan longkang tersumbat, membaiki kawasan pembuangan sampah serta membaik pulih padang permainan," jelasnya.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.