Followers

Tuesday, April 29, 2014

Mengenang Haji Yusof Rawa: 28 April yang hiba


 
BAGI orang lain 28 April mungkin tidak membawa apa-apa makna kecuali mereka yang lahir pada hari ini. Setiap seorang mempunyai tarikh tertentu yang memberi sesuatu kesan dalam hidupnya sama ada ia saat kegembiraan mahupun saat kesedihan.

Bagi saya, tarikh 28 April adalah saat saya kehilangan manusia yang paling saya sayangi dan kasih bahkan ramai yang meratapi pemergiannya kerana beliau bukan sahaja milik saya dan keluarga bahkan beliau juga milik umat ini.

Di pagi subuh yang hening bersamaan dengan hari Jumaat tahun 2000 Masehi, insan bernama Yusof bin Abdullah @ Haji Yusof Rawa telah meninggalkan dunia fana ini buat selamanya.

Bagi saya setiap 28 April adalah tarikh istimewa untuk saya memperingati nama yang besar ini dalam hidup saya sebagai ayah, pemimpin dan murabbi pertama saya.

Pagi Subuh Itu

Semua ahli keluarga besar  ayahanda Yusof Rawa sudah pun berkumpul di rumah Gelugor sejak dua tiga hari apabila Doktor Ang yang merawatnya meminta kami untuk membawa pulang ayahanda kerana tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan.

Kami menyediakan katil yang boleh dinaik turun posisinya seperti yang terdapat di hospital untuk keselesaan ayahanda termasuk alat pernafasan sebab ayahanda sering mengadu nafasnya semput. Hakikatnya ayahanda mengalami pnemounia semenjak dimasukkan di hospital dua tiga bulan yang lalu.

Sejak dua tiga malam setelah kembali dari hospital, ayahanda mengadu sakit perut dan meminta Dr Ang supaya datang dan melihatnya.

Malam 27 April itu Dr Ang datang ke rumah dan memberitahu kepada ayahanda supaya datang ke hospital esoknya (28 April) sambil berjanji untuk membuat pemeriksaan lebih terperinci, ayahanda hanya mengangguk.

Namun sejak kembalinya Dr Ang, ayahanda semakin pendek nafasnya dan senantiasa memakai topeng pernafasan sambil suaranya menjadi semakin lemah. 
 
Saya berada di sisinya sepanjang malam bersama kekanda saya yang lain bergilir membaca surah Yasin.

Beliau hanya memandang ke arah setiap kami, mungkin beliau terasa itu adalah pandangan terakhirnya menatap wajah kesebelas anaknya.

Subuh 28 April saya mengimami solat Subuh di rumah kami di Gelugor, ayahahanda minta untuk berwudhuk dan bersolat di katilnya sahaja sambil berbaring. Selesai solat saya mengajak kesemua 11 adik-beradik kami untuk membaca surah Yasin dengan anak menantu dan cucu yang ada.

Belum sempat tamat Yasin,  ayah memanggil nama saya dengan nada yang kuat menyebabkan semua kami terkejut. Saya bergegas di sisinya.

Ayahanda memandang saya dengan topeng pernafasan cuba dibuangkan sambil ayahanda mengatakan, “Abah nak habis dah...”sambil beliau memegang tangan saya minta diusap kepalanya seperti lazimnya semenjak beliau terbaring di katil.

Saya patuh sambil matanya saya melihat seolah memandang sesuatu di atas. Selimut yang menutupi ke paras dadanya ditarik-tarik seolah mahu menutup mukanya.

Detik itu saya sudah merasai masanya semakin hampir, saya mentalqinkannya dengan syahadah berkali-kali, bibirnya berkumat-kumit, perkataannya sudah tidak difahami lagi dan lebih kurang beberapa detik sebelum munculnya matahari pertama pagi Jumaat 28 April itu berakhirlah riwayat hidup insan bernama Haji Yusof Rawa.

Insan Biasa

Haji Subky Latif penulis dan wartawan senior pernah menulis tentang Haji Yusof Rawa bahawa dia tidak dilahirkan sebagai manusia agung. 
 
Beliau menulis setelah diminta membentangkan pandangannya terhadap ketokohan Haji Yusof Rawa dalam majlis Legasi Haji Yusof Rawa yang dianjurkan oleh Penang Institute beberapa tahun yang lalu.

Beliau membuat penjelasan bahawa jalan pendakian Haji Yusof Rawa sebagai tokoh bermula dengan penuh kesederhanaan dan beliau tidak mendapatinya dengan mudah.

Namanya tidak dikenali ramai sebelum ia mendapat tempat tertinggi dalam heiraki parti tetapi kesetiaannya kepada parti PAS disaksikan melalui pengorbanan yang diberikan untuk bersama sehingga ke akhir hayatnya dengan PAS.

Beliau memikul amanah dan diberi penghormatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS yang pertama dan menjadi Presiden PAS yang pertama dalam era kepimpinan ulama awal dekad 80-an.

Keupayaan berbahasa Inggeris dan penguasaanya dalam Bahasa Arab adalah antara keistimewaan Haji Yusof Rawa. Minatnya yang mendalam dalam bahasa membawanya mempelajari Bahasa Perancis dan Parsi secara sendiri dan dapat berinteraksi kadar keperluannya.

Ayahanda dikenali sebagai tokoh sederhana dalam PAS dan membawa nama Malaysia di pesada antarabangsa sebagai Duta Besar dan pernah menjadi perwakilan ke Bangsa-Bangsa Bersatu selama setahun di New York. Seorang yang diplomatik dan disegani kawan dan lawan.

Menolak Gelaran

Pernah saya diberitahu beberapa kali hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang semasa hayatnya mencalonkan nama beliau untuk pingat dan anugerah tetapi ditolak, kecuali satu pingat yang diterimanya tanpa membawa apa-apa gelaran iaitu Jaksa Pendamai (JP).

Ayahanda mempunyai alasan menerimanya kerana dengan Jaksa Pendamai beliau ingin membuat khidmat dengan membantu siapa yang memerlukan tandatangannya secara percuma.

Beliau pernah berkata bahawa gelaran lain tidak memberikan seseorang kuasa kecuali JP yang laku tandatangannya untuk perakuan.

Begitu juga sukar pihak Majlis Agama Islam semasa hidupnya mencalonkan namanya sebagai tokoh Maal Hijrah beberapa kali tetapi ditolaknya. Hanya pada tahun 1993 beliau bersetuju menerima anugerah itu setelah dipujuk.

Sikapnya yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan menjadikan Haji Yusof Rawa sebagai seorang yang agak sukar tersilau dengan kilauan dunia yang menjadi rebutan kelompok pimpinan sepertinya.

Kesetiaan Dengan PAS

Semasa PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional, Haji Yusof Rawa menolak untuk bersama BN walaupun diberikan beberapa tawaran. 
 
Beliau memilih untuk bersama PAS ketika senang dan ketika susah. 

Misi seterusnya yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang membaca transformasi PAS dari era Datuk Asri Muda kepada kepimpinan ulama adalah pengemudian kepimpinan Haji Yusof Rawa membina era baru organisasi dan politik PAS.

Sebagaimana yang pernah disebut oleh mendiang MGG Pillay seorang wartawan politik senior, bahwa Haji Yusof Rawa adalah arkitek yang sebenarnya memastikan kepimpinan baru PAS meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

Sebagai orang paling kanan setelah krisis era Datuk Asri berakhir dengan kemunculan kepimpinan ulama, beliau berhati-hati untuk memastikan kelompok lama yang agak terkejut dengan lonjakan baru PAS pada ketika itu tidak ditinggalkan.

Krisis PAS yang agak kritikal pada waktu itu dikawal dengan baik oleh Haji Yusof Rawa melalui kepimpinannya apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan memangku selama setahun setelah Datuk Asri meletakkan jawatan setahun sebelum pemilihan parti.

Pada waktu itu sikapnya membuat keputusan terpaksa berhadapan dengan berbagai kritikan dalaman dan luaran disambut oleh beliau dengan tenang tetapi penuh ketegasan.

Beliau pernah cuba meletakkan jawatan kerana merasai kepimpinannya tidak mendapat kepercayaan ahli semasa isu penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council, namun atas pujukan dan nasihat pimpinan kanan lain khususnya Almarhum DatukUstaz Fadhil Nor dan Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Haji Yusof Rawa menarik balik hasratnya.

Pada saat keuzurannya beliau masih lagi bertanya kepada Pejabat Agung PAS sama ada beliau masih lagi tertunggak sumbangan infaknya kepada parti dan melunaskannya. Beliau pernah berpesan kepada saya selaku anak muda yang turut ingin beraksi dalam kancah ini bahawa:

“Janganlah engkau mengharapkan pada perjuangan sesuatu habuan dunia tetapi berilah kepada perjuangan habuan engkau dari dunia.”

Perjuangannya

Walaupun tidak pernah ditahan dan ditangkap sebagai tahanan politik, Haji Yusof Rawa lantang menyuarakan hak golongan tertindas, menolak gagasan perjuangan perkauman sempit dan berani membentuk arus pemikiran alternatif kepada menyampaikan PAS kepada kelompok bukan tradisionalnya daripada pelbagai kaum khususnya kaum Cina.

Sikap keterbukaannya menemukan PAS dengan Umno dalam menyatakan pendirian PAS kepada isu perpaduan Melayu pada pertengahan 80-an dan beliau menolak fahaman kebangsaan sempit.

Beliau banyak menyedarkan keperluan umat Islam mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu, akhlak dan keperluan dunia. 
 
Sebagai seorang usahawan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik pada awal 50-an, Haji Yusof Rawa antara pengasas awal Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan menceburi bidang percetakan antara yang terawal di Pulau Pinang.

Penanya menitip setiap ruang di majalah Islah yang didirikannya awal 60-an. Kritikannya pada kehidupan masyarakat dimuatkan dalam kolum “Teropong dari Acheh Street”.

Karyanya yang menjadi rujukan hingga ke hari ini ialah Tafsir Juz Amma dalam memenuhi kehendak pencinta ilmu mendalami tafsir mudah dan ringkas dari Juz Amma.

Pernah diberi pilihan untuk mencetak buku yang laris dengan cerita-cerita hiburan tetapi menolaknya kerana biarlah beliau memilih mencetak buku agama yang kurang laris pada waktu itu tetapi mendapat berkat.

Ini pernah diluahkan dalam catatan peribadinya tentang pengalamannya menjadi pencetak. 
 
Jikalau Haji Yusof Rawa hidup hari ini, beliau akan menyaksikan suasana sudah berubah di mana buku agama kini menjadi kegemaran ramai. 
 
Mungkin juga beliau akan tersenyum kerana perjuangannya memilih menerbitkan buku agama tertuai juga akhirnya oleh generasi penerbit buku hari ini.

Ayah, Rakan dan Pemimpin

Saya menyaksikan kehidupan ayahanda dalam pelbagai dimensi. Sebagai anak, saya berbangga menjadi anggota keluarganya yang besar. Tegas dalam pendidikan anak-anak tetapi kasih dan mesra dalam membimbing kekurangan anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.

Kesibukannya tidak menghalang untuk bersama anak-anak setiap hari Ahad mencuci kereta atau berjalan di Padang Kota Lama atau sekadar memotong kuku kami mahupun menikmati juadah makan di gerai Padang Brown.

Pengalaman peribadi saya semasa bersiar-siardi Tehran semasa beliau menjadi duta ke Iran dalam cuaca dingin dengannya tidak mungkin saya lupakan sambil kata nasihatnya menghiasi perjalanan kami.

Siapa yang tidak memperakui kesetiaannya kepada erti persahabatan, malah siapa yang pernah mengenalinya akan menikmati kejujuran dalam bersahabat. Beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa sebagai balasan persahabatan melainkan kejujuran dan keikhlasan setiakawan.

Pada masa uzurnya beliau banyak bertanyakan kawan lamanya dan berusaha menziarahi mereka bagi memenuhi erti persahabatan.Tuan punya Kamus Pustaka Arab-Melayu Ustaz Ahmad Badjenid menjadi sahabat setianya diziarahinya walaupun beliau ketika itu juga uzur sambil mereka ketawa mesra menceritakan masa lampau.

Sikapnya yang tidak pernah mengecewakan permintaan kawan yang dalam keperluan sering mencetuskan bertambahnya lagi hormat kawan kepadanya. Bagi mereka yang mengenali Haji Yusof Rawa pasti ada cerita menarik yang hanya diketahui setelah beliau meninggalkan kita untuk mengenangkan kesetiaan persahabatannya.

Sebagai pemimpin dan dua penggal Ahli Dewan Rakyat, kepimpinannya terus berbisa di hati mereka yang pernah mengenalinya. Pembelaannya terhadap orang miskin menjadikan beliau bergelar sang pemurah.

Ada beberapa orang yang menemui saya memberitahu bahawa ayahnya pernah dibantu oleh Haji Yusof Rawa semasa susahnya dan sering menyebut nama Haji Yusof Rawa walaupun mereka tidak pernah mengenalinya.

Saya juga diberitahu oleh orang lama di Parit Buntar bahawa ayahanda saya pernah menyumbang untuk sebuah masjid dengan kadar yang agak besar nilainya pada waktu itu.

Bantuannya kepada sekolah-sekolah agama daripada sudut kemudahan pembayaran buku yang dipesan dari kedainya menjadi sebutan di kalangan penggiat sekolah agama hingga ke hari ini.

Untuk perjuangan parti beliau terkenal sebagai penyumbang utama termasuklah poster-poster semasa pilihan raya umum yang dicetak di gedung percetakannya The United Press.

Al Zai'm

Beliau mendapat jolokan ini di kalangan rakannya di Makkah semasa Haji Yusof Rawa menuntut di sana.

Al Zai'm yang membawa maksud “ketua”. Ini adalah kerana semangat beliau memimpin rakan-rakannya dalam membina semangat kemerdekaan pada waktu itu dan keberanian Haji Yusof Rawa berhadapan dengan pemuda  tempatan Makkah yang sering mengejek pelajar-pelajar dari Nusantara pada waktu itu.

Sikap beraninya dan inspirasinya pada rakan pelajar terhadap perjuangan kebebasan di tanah air yang dicintai melalui Persatuan Anak Melayu di Makkah menyebabkan mereka menggelarnya Al Za'im.

Nama itu rupanya meninggalkan bekas pada kehidupannya setelah kembali ke tanah air dan berkat gelaran tersebut dari bumi yang penuh berakah, Haji Yusof Rawa terus kekal dalam ingatan kita sebagai Al Zai'm. Saya berbangga Al Zai'm itu adalah ayah saya dan ayah kepada kesebelasan kami.

Legasi Haji Yusof Rawa

Pada hari ini, 14 tahun sudah berlalu, baru semalam rasanya saya bermesra dengannya. Saya membesar mengetahui bahawa Haji Yusof Rawa bukan sahaja milik kesebelasan kami dan bonda kami, Haji Yusof Rawa milik manusia dan lebih besar dari itu Haji Yusof Rawa adalah milik mutlak Sang Pencipta.

Suaranya yang lemah pada pagi 28 April memberitahu saya, “Abah dah nak habis dah...” seolah menutup perjalanannya selama ini untuk menemui Allah Jalla Fil Ula yang hidupnya dan perjuangannya cuba dipenuhi kerana-Nya dan untuk-Nya.

Pada saya, semangat Al Za'im pada diri Haji Yusof Rawa akan senantiasa kekal sebagai sumber insprasi saya dalam saya menjalani kehidupan yang berbaki sehingga semua kita menemui-Nya nanti.
 
Dr Mujahid Yusof Rawa adalah merupakan anak bongsu Haji Yusof Rawa.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.