Ahli keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 dari China yang sebelum ini dilihat kecewa dalam mencari jawapan kehilangan pesawat itu kini dilihat lebih tenang.
Pertemuan yang berlangsung selama satu setengah jam antara 42 ahli keluarga dengan 10 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan di sebuah hotel di Bangi petang tadi.
Persatuan Persahabatan Malaysia-China Tan Khai Hee berkata kunjungan hormat itu berjalan lancar di mana ahli keluarga lebih tenang dan aman apabila menyampaikan kebimbangan mereka kepada NGO tersebut.
Katanya, ahli keluarga penumpang dari China menjadi berang hanya kerana mereka terdesak untuk mendapatkan maklumat.
"Namun apabila mereka sudah berada di sini, mereka lebih faham dengan apa yang berlaku termasuk proses pencarian dan penyelamat (SAR)," katanya.
Tan berkata gabungan NGO itu akan mengulangi lawatan kelak untuk memantau keadaan ahli keluarga tersebut.
"Kami amat prihatin. Mereka memahami kerana kami juga adalah kaum Cina. Mereka merasakan lebih senang untuk meluahkan apa yang diperlukan," katanya.
Kumpulan ahli keluarga China penumpang pesawat MH370 tiba di Kuala Lumpur Sabtu lalu dengan menuntut maklumat daripada kerajaan Malaysia.
Mereka turut menuntut kerajaan Malaysia meminta maaf kerana membuat kenyataan bahawa pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi minggu lalu.
Sehari selepas pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, ahli keluarga tersebut mengadakan protes di luar Kedutaan Malaysia di Beijing.
Mereka mendakwa tindakan Najib tidak bertanggungjawab kerana mengeluarkan kenyataan begitu tanpa bukti fizikal.
Misi SAR kini memasuki 23 hari, di mana disertai 25 negara dengan peralatan, aset dan sumber untuk mencari pesawat malang itu.
Ratusan objek dikesan dalam pencarian tersebut namun setakat ini tiada ada satu pun yang dapat dikaitkan dengan kehilangan MH370 sejak 8 Mac lalu. – 1 April, 2014.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.