Followers

Friday, April 11, 2014

Kenapa Upah Peguam UMNO: Jabatan Peguam Negara kurang peguam?

 
KUALA LUMPUR: Pelantikan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam kes saman sivil DAP terhadapnya memperlihatkan seolah-olah Jabatan Peguam Negara kekurangan peguam berkaliber.

Tindakan tersebut mencerminkan kegagalan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta jabatan yang dikendalikan beliau yang disifatkan sebagai telah melepaskan tanggungjawab dan tugas untuk mengendalikan kes-kes saman terhadap kerajaan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dalam kenyataannya yang mengulas pelantikan Shafee oleh ROS itu mempersoalkan sama ada pembayar cukai turut terpaksa menanggung bayaran kepada peguam Umno terbabit, lapor Roketkini.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo yang menguruskan kes sivil DAP lawan ROS tersebut dimaklumkan tentang pelantikan Shafee sewaktu pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong memberitahu bahawa pihak pendaftar mahkamah dimaklumkan peguam dari firma Shafee bahawa ROS telahpun berbincang dengan peguam Umno itu untuk khidmatnya.

Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 membenarkan Peguam Negara menggunakan khidmat mana-mana peguambela dan peguamcara untuk mewakili seorang pegawai kerajaan dalam prosiding sivil di mahkamah.

“Bagaimanapun, peruntukan tersebut sepatutnya digunakan hanya dalam kes-kes tertentu apabila kepakaran yang diperlukan di mahkamah tidak boleh didapati di Jabatan Peguam Negara.

“Prosiding sivil terhadap ROS tidak memerlukan sebarang kepakaran khas,” ujar Karpal, justeru tidak perlu wang pembayar cukai digunakan untuk membayar khidmat Muhammad Shafee.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi DAP menggesa Peguam Negara menjelaskan kepada orang ramai sebab Shafee perlu dilantik serta berapakah kadar bayaran yang perlu ditanggung oleh para pembayar cukai.

Shafee turut dilantik menganggotai pihak pendakwa dalam fasa rayuan kes Liwat 2 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga turut menjadi peguam kepada Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Kemelut DAP dan ROS kini masuk tahun kedua. DAP dalam kes sivilnya mencabar keputusan ROS yang tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Meski pemilihan semula telah pun dibuat mengikut saranan pihak ROS. Namun ROS tetap bertindak mengarahkan CEC untuk tidak membuat sebarang keputusan bagi pihak parti sehingga selesai siasatan.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.