Karpal sudah pergi...RIP
Akan ada lagi PRK disini dalam masa terdekat ini...adakah berani BN tabur BR1M di kawasan kubu kuat DAP ini..
AHLI PARLIMEN BUKIT GELUGOR KARPAL SINGH TERBUNUH DALAM KEMALANGAN
MANTAN PENGERUSI DAP
Pemimpin pembangkang veteran DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor,
Karpal Singh maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh
Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada
kira-kira jam 1.30 pagi ini.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya,
Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.
Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke
Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat
kejadian akibat cedera parah.
Kemalangan dikatakan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard
yang dinaikinya melanggar sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa
memberi isyarat.
Semasa hidupnya, Karpal, 74, dikenali sebagai pemimpin pembangkang yang lantang dan peguam digeruni.
Karpal dilahirkan di Pulau Pinang pada 28 Jun, 1940. Beliau menerima
ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai
peguam sebelum memulakan karier politiknya pada 1970 dengan menyertai
DAP.
Beliau menang pilihan raya kali pertama pada 1974 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Peguam lantang itu memenangi kerusi Parlimen Jelutong buat pertama kali
pada 1978. Sejak menang pada 1978, Karpal hanya kalah sekali di kerusi
tersebut semasa Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.
Karpal yang aktif berpolitik selama 36 tahun dan digeruni dengan ucapan
berapi-apinya di Dewan Rakyat digelar 'Harimau Jelutong'.
Karpal melepaskan jawatan pengerusi DAP baru-baru ini selepas didapati
bersalah dalam kes hasutan kerana mengatakan Sultan boleh didakwa di
mahkamah pada 2009.
Beliau lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2005.
Beliau pernah ditahan bersama pemimpin pembangkang dan aktivis politik
lain mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan meringkuk di Kem
Tahanan Kamunting selama dua tahun selepas kerajaan pimpinan Tun Dr
Mahathir Mohamad melancarkan Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan
lebih 100 orang ditahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui akun Twitter @najibrazak.
"Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal
terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau,"
tulisnya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut
bersedih dengan pemergian pemimpin veteran DAP itu yang turut menjadi
peguamnya dalam kes Liwat II.
“Kami kehilangan sahabat; pejuang gigih keadilan Karpal Singh. Kami
berbicara panjang melalui telefon jam 630 petang semalam. Takziah buat
keluarga,” kata Anwar di akaun Twitter @anwaribrahim.
Karpal merupakan salah seorang pemimpin yang menjayakan penubuhan
gabungan pembangkang PR dianggotai DAP, PKR dan PAS selepas buat pertama
kalinya majoriti tradisi dua pertiga Barisan Nasional (BN) dinafikan di
Parlimen.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis di akaun
Twitter @khalid_ibrahim: "Perkhabaran sedih.
Negara kehilangan tokoh
politik dan peguam yang berwibawa. Takziah kepada seluruh keluarga
mendiang Karpal Singh."
Karpal meninggalkan seorang balu dan lima anak serta empat cucu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.