Analisis
yang dibuat terhadap data satelit mendapati pesawat MH370 mengambil
masa selama 23 minit pada ketinggian sehingga 45,000 kaki - di atas dari
ketinggian maksimum biasa - dan ini mungkin menyebabkan semua orang di
atasnya tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen, lapor tabloid
British Daily Mail.
Ketinggian
pesawat maksima adalah 43,100 kaki tetapi radar tentera mengesan
pesawat itu terbang antara 43,000 ke 45,000 kaki sebaik sahaja selepas
komunikasi terakhir juruterbang dari kokpit pesawat.
"Ia
dikesan terbang selama 23 minit pada ketinggian itu sebelum menjunam.
Oksigen akan habis selepas 12 minit (dalam kabin) dan menyebabkan
penumpang tidak sedarkan diri," kata sumber.
Pakar
berkata, walaupun Boeing 777-200ER boleh terbang setinggi 43,000 kaki
maksimum, ia mungkin terbang dengan selamat untuk ketinggian yang lebih
lagi.
Tetapi
pada ketinggian itu, apabila atmosfera menjadi nipis secara drastik, ia
akan mengambil masa seminit sahaja kalau bukan satu saat untuk hipoksia -
kekurangan oksigen berlaku, kata Daily Mail.
Corong oksigen akan jatuh dengan sendiri, tetapi ia boleh membekalkan antara lima ke 10 minit gas sahaja.
Profesor
Aerodinamik Gunaan dan Eksperimen Universiti Highlands and Islands,
Andrew Rae memberitahu Daily Mail: "Letupan tekanan dalam kabin akan
menjadi masalah pada ketinggian 10,000 kaki, 30,000 kaki atau 43,000
kaki, tetapi ketinggian yang lebih mungkin menyebabkan perkara itu
berlaku lebih cepat.
“Fakta
pesawat itu terbang pada ketinggian 43,000 kaki tidak sepatutnya
menggerakkan bekalan oksigen kecemasan pesawat,” katanya.
Udara
yang menyebabkan tekanan kepada pesawat datang daripada enjin dan sayap
dan ia ditapis sebelum memasuki persekitaran penumpang.
Sistem
tekanan mungkin perlu ditutup jika pesawat itu memasuki udara kotor,
tetapi penyiasat melihat kepada kemungkinan ia dipadam kerana sebab
jahat, kata laporan Daily Mail.
Sementara
itu, seorang juruterbang Kanada dengan 20 tahun pengalaman, Chris
Goodfellow, berkata dalam satu posting di Google Plus, beliau percaya
berlaku kebakaran dalam pesawat itu.
Dalam
posting itu yang turut disiarkan di Reddit dan dilaporkan secara meluas,
beliau mendakwa juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah
melakukan apa yang sepatutnya dilakukan pada waktu kecemasan – cuba
untuk mendaratkan pesawat di lapangan terbang terhampir.
Goodfellow
berkata, dalam kes ini, ia adalah 13,000 kaki di atas Pulau Langkawi,
dan ia adalah di mana pesawat itu sedang tuju ketika ia kali terakhir
dikesan.
Beliau
percaya anak kapal terhidu asap dan pesawat itu terbang seperti “pesawat
hantu” untuk beberapa jam melepasi lapangan terbang yang dipilih itu
sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi berhampiran Maldives.
“Kami juruterbang tua dilatih untuk selalu tahu lapangan terbang yang paling hampir ketika ia terbang. Selalu.
“Gerak hati saya, saya tahu ia menuju ke lapangan terbang apabila pesawat itu pusing ke kiri,” kata Goodfellow.
Katanya,
beliau kemudian terus membuka Google Earth dan menemui landasan, yang
mempunyai kurang rintangan yang menghalang pendaratan pesawat itu
berbanding jika Zaharie cuba kembali ke Kuala Lumpur.
“Juruterbang
itu melakukan segalanya dengan betul. Beliau dimaklumkan mengenai
kejadian besar yang berlaku di atas pesawat yang menyebabkan beliau
patah balik secara serta merta untuk ke lapangan terbang terdekat,”
katanya.
Juruterbang
bersara, Eric Moody yang mengetuai kejadian pada 1982 membabitkan
pesawat British Airways 9 yang mengalami kegagalan enjin ketika ia
terbang merentasi awan dengan abu gunung berapi berkata, jika ada
kebakaran, juruterbang pasti mahu mendaratkan pesawat secepat mungkin
berbanding terbang untuk tujuh jam lagi.
Beliau berkata, ia kelihatan komunikasi dipadamkan secara sengaja dan keadaan itu tidak berlaku ketika kecemasan.
Pada
1982, semua empat enjin British Airways pesawat 9 yang dipandunya dari
London ke Auckland, New Zealand gagal ketika ia terbang menembusi awan
dengan abu gunung berapi.
Awan itu datang daripada letusan Gunung Galunggung di Jawa Barat, Indonesia.
Moody
terpaksa mengambil tindakan kecemasan dan berjaya menyelamatkan semua
248 penumpang dan 15 anak kapal dengan jatuh dari ketinggian 37,000 kaki
kepada 12,000 kaki untuk menghidupkan enjin.
Pesawat itu membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Indonesia.
Walaupun dia mengawal, beliau masih tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku sehingga laporan didedahkan 11 tahun kemudian.
Moody yang tinggal di Chilworth berhampiran Southampton, Hants, percaya orang awam tidak diberitahu cerita penuh.
"Apa
yang saya dapat katakan adalah beberapa agensi tahu sesuatu yang lebih
daripada apa yang diberitahu dan saya mempunyai pengalaman dalam hal
ini.
"Ia
mengambil masa 11 tahun untuk mengetahui bagaimana Boeing dapat
menghubungi seorang jurutera di Jakarta yang datang kepada kami selepas
kira-kira 15 hingga 20 minit mendarat.
"Satu
panggilan telefon dibuat apabila enjin saya mula berhadapan dengan
masalah. Ini bermakna mereka tahu apa yang berlaku kerana mereka
memantau kami menerusi satelit.
"Stesen
pemantauan satelit oleh Alice Springs dan Guam mengekori kami apabila
kami mengetahuinya daripada fail yang didedahkan beberapa tahun
kemudian.
"Walaupun
sekarang banyak perkara yang tidak diketahui tetapi seseorang akan
mengetahuinya dengan lebih terperinci dan ia boleh jadi pada mana-mana
negara.
"Kita tidak tahu apa yang mereka saksikan," kata beliau seperti yang dilapor Daily Mail.
Pesawat
MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac dan walaupun operasi pencarian
secara besar-besaran dilakukan oleh banyak negara, tiada tanda ia
dijumpai.
Analisis
data satelit oleh Inmarsat Britain memberi pengesahan kepada pihak
berkuasa Malaysia bahawa pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi,
seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada
malam Isnin.
Ia didedahkan semalam bahawa isyarat elektronik akhir daripada pesawat itu diterima pada 08:19 (waktu Malaysia) pada 8 Mac.
"Terdapat
bukti yang agak bercanggah antara pesawat dan menara kawalan pada 0019
UTC (GMT)," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein kepada media semalam.
"Pada
masa ini, transmisi ini tidak difahami dan tertakluk kepada kajian
lanjut yang berterusan," kata beliau sambil menambah selagi serpihan
tidak ditemui, tidak akan ada pengakhiran bagi semua keluarga terlibat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.