Malaysia Airlines (MAS) hari ini menafikan laporan bahawa lima penumpang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat penerbangannya ke Beijing yang hilang Sabtu lepas.
MAS dalam kenyataan menjelaskan terdapat empat penumpang yang tidak muncul untuk mendaftar masuk bagi penerbangan MH370 meskipun mereka telah membuat tempahan untuk perjalanan itu.
"Meskipun begitu, isu mengeluarkan bagasi tanpa penumpang tidak timbul, kerana empat penumpang berkenaan tidak mendaftar untuk penerbangan itu," katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan kewujudan lima penumpang berkenaan dan berkata semua penumpang yang mendaftar masuk telah menaiki pesawat berkenaan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata bagasi lima penumpang yang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat telah dikeluarkan daripada pesawat dan didapati 'bersih'.
Pada Sabtu, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.
Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.