Followers

Monday, March 24, 2014

Kekeliruan ahli politik dan persaingan sukarkan carian MH370, kata bekas setiausaha Najib


ahli politik kerajaan


Dengan setiap langkah Malaysia diperhati dunia dalam pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang, pihak berkuasa sepatutnya dari awal lagi merangka suatu mekanisme tindak balas kecemasan utama yang komprehensif, kata sebuah artikel yang disiarkan dalam China’s Global Times.

Oh Ei Sun

Oh Ei Sun, his political secretary, went to the family’s house as Najib’s representative to see what the family could do. Pic http://whatalulu.blogspot.com/

Artikel tersebut ditulis oleh Oh Ei Sun, seorang zamalah kanan dari S Rajaratnam School of International Studies, Universiti Teknologi Nanyang Singapura, yang berkata kenyataan bercanggah yang diberikan beberapa pegawai tertinggi Malaysia daripada menteri pengangkutan ke tentera negara, hanya mengakibatkan kekeliruan dan kesedihan.

Oh yang juga bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata “Persepsi negatif tentang cara Malaysia mengendali krisis ini mungkin disebabkan dua ciri suasana politik Malaysia yang asing bagi warga China,” dalam artikelnya yang bertajuk “Malaysia’s political rivalries bedevil search for lost MH370 flight” dipetik Global Times atau ”Persaingan politik Malaysia membayangi pencarian pesawat MH370 yang hilang.”

Pertamanya, kata Oh, sistem perkhidmatan awam Malaysia membezakan antara penjawat awam yang merupakan karier profesional dan anggota pentadbiran, yang merupakan ahli politik.

Penjawat awam tidak boleh menjadi pemimpin politik jabatan mereka, katanya, dan menambah bahawa anggota pentadbiran adalah para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

Bagaimanapun, semuanya berkhidmat kepada perdana menteri, yang akhirnya menjawab kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik, kata Oh.

“Ahli politik sebegitu jelasnya tidak profesional ataupun mahir dalam jabatan yang mereka ketuai.
“Dan tidak seperti negara China ataupun Amerika Syarikat, Malaysia belum lagi menggunakan sistem ‘jurucakap’. Sidang media kini dikendalikan oleh ahli politik dengan sendirinya.

Ketika berhadapan dengan serangan media antarabangsa, ada antara mereka yang akan menyerlah dan yang lain tidak seberapa,” Oh berkata dalam artikelnya dalam Global Times.

Faktor kedua, kata Oh, adalah di permukaannya, Malaysia seperti mengamalkan sistem politik tengah di mana perdana menteri atau presiden parti pemerintah akan merangka dasar polisi dan jabatan bawahan mereka akan melaksanakannya.

Walhal sebenarnya, untuk berjaya dalam hiraki politik Malaysia, kata Oh, ahli politik perlu mempunyai beberapa kumpulan penyokong yang berpengaruh.

“Penyokong politik ini pula menarik lebih banyak penyokong, dan corak yang sama berlaku hinggalah ke bawah di tahap pengundi biasa.

“Untuk mengekalkan sokongan mereka, ahli politik tertinggi perlulah memberikan pelbagai habuan politik, paling penting sekali penjawatan. Sebaik sahaja dilantik sebagai pegawai, ahli politik tersebut akan mulai menjadikan jabatannya sebagai ‘fiefdom’nya sendiri.

“Dan kerana antara ahli politik ini penuh dengan persaingan, kerjasama antara jabatan ataupun koordinasi menjadi sesuatu yang sangat sukar, walaupun di hadapan krisis besar,” katanya.

Oh berkata ini dapat menjelaskan mengapa ia mengambil hampir seminggu sebelum ketua sebuah jabatan ditugaskan dalam mengendalikan pencarian pesawat MH370.

“Suasana politik Malaysia akan menentukan menteri manakah yang tidak suka dipimpin oleh yang lain kerana tidak mahu hilang muka.

“Tetapi ia suatu paradoks, kerana semakin penyelesaian krisis ini berlanjutan dan menarik lebih kritikan tentang kepimpinan mereka yang lemah, tidak hairanlah menteri-menteri yang berkenaan tidak begitu berminat dalam menyandang kepimpinan itu sekarang.” tambahnya.

Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.