Followers

Friday, March 14, 2014

Hospital Kajang antara terima manfaat Kajang Move - Azizah

 
Hospital Kajang antara terima manfaat Kajang Move - Azizah

KAJANG - Jika Langkah Kajang mampu memberikan kesan yang baik kepada pengundi di kawasan sekitar, sudah pasti Langkah Putrajaya mampu memberikan impak yang lebih besar kepada rakyat Malaysia.

Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan adanya PRK Kajang, kerajaan BN berusaha memenangi hati pengundi dengan pelbagai janji pembangunan.

Ini katanya termasuk cadangan menaik taraf Hospital Kajang dengan peruntukan RM10 juta oleh Kementerien Kesihatan.

Sambil menyambut baik cadangan tersebut, Wan Azizah berkata, Hospital Kajang memang perlu dinaik taraf memandangkan bangunannya sudah terlalu lama dan tidak dapat dapat menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

"Itulah kesan sampingan yang baik, apabila kita ada Kajang Move ini.

"Adalah dialu-alukan kerajaan nak naik taraf Hospital Kajang sebab saya memang pergi melihat dengan mata saya sendiri bahawa perlu sangat hospital ini dinaik taraf.

"Kalau Kajang Move memberi kesan sampingan yang baik, kita nak Putrajaya Move beri kesan yang positif kepada negara kita," kata beliau ketika ditemui di Hospital Kajang, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Wan Azizah melawat pesakit-pesakit di dua Wad Perubatan Perempuan.

Beliau menghadiahkan bunga kepada mereka termasuk kepada jururawat dan ketua jururawat yang mengiringi beliau.

Bekas pengamal perubatan itu juga beramah mesra dengan pesakit-pesakit dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

"Saya faham tugas doktor dan jururawat yang sibuk dan perlu memastikan keadaan wad sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan tidak menganggu privasi pesakit.

"Beri saya peluang untuk melawat pesakit pun sudah cukup baik," kata beliau kepada salah seorang ketua jururawat yang meminta maaf kerana tidak dapat membenarkan semua pengiringnya masuk ke wad termasuk wartawan dan jurugambar. -Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.