KAJANG - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar meletakkan jawatannya jika masih gagal menjawab kegagalan radar Malaysia mengesan pesawat penerbangan MAS MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa radar tersebut yang dibeli kerajaan Malaysia sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan sepatutnya berupaya mengesan semua penerbangan yang melintasi ruang udara dan perairan negara.
"Semasa saya jadi Menteri Kewangan, Kementerian Pertahanan beli sistem radar yang canggih yang namanya Markoni.
"Sistem itu boleh baca dan lihat semua penerbangan dari perairan negara Laut China Selatan sehingga ke Lautan Hindi, tapi tiada laporan," katanya berucap pada Himpunan Reformasi 2.0 di Stadium Kajang, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut misteri penerbangan pesawat MH370 yang gagal dikesan sejak Sabtu lalu ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China.
Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan fungsi radar tersebut dipercayai ditutup hingga gagal mengesan pesawat tersebut.
"Apa jadi dengan radar itu, adakah radar itu ditutup? Kenapa radar itu tidak boleh mengesan pesawat kita?
"Kalau Menteri Pertahanan tidak boleh jawab perkara itu, dia kena letak jawatan serta merta," katanya lagi.
Tambah Anwar lagi, perkara itu melibatkan keselamatan negara termasuklah insiden kapal terbang yang tidak dikenali melintasi ruang udara Malaysia.
Dakwanya pesawat tidak dikenali itu sehingga kini gagal dikenal pasti oleh Kementerian Pertahanan negara yang didakwa turut melintasi perairan negara.
"Ini ancaman negara kerana kecuaian, sibuk mencari wang, cari untung, hina orang fitnah orang yang dilakukan kerajaan BN," dakwanya lagi. sh
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.