‘Nanti keluar cerita Anwar terlibat perang dunia ke-2 pula’
Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kononnya memainkan peranan dalam Ops Lalang 1987.
Beliau berkata, setiap masalah di negara ini ‘semua salah Anwar’ termasuk menahan 108 pemimpin pembangkang dan aktivis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
“Ops Lalang, pertama kali saya dengar semua salah Anwar, Semalam saya diberi satu artikel (kononnya) saya terlibat dalam 13 Mei.
“Lepas ini, keluar pula cerita Anwar terlibat perang dunia kedua,” katanya secara sinis ketika berucap di Dewan Gereja Holy Family, Jalan Gereja di sini, hari ini.
Mahathir dalam satu portal berita tempatan membuat tuduhan tanpa bukti kononnya Anwar turut memainkan peranan penting menjayakan Operasi Lalang pada 1987.
Malaysia Kini pula hari ini memetik kenyataan Anwar yang tidak memberi jawapan berhubung persoalan sama ada mahu menjadi menteri besar jika memang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.
Dalam lawatan Anwar itu, seorang pengundi menyatakan beliau hanya akan mengundi ketua umum PKR itu jika menjadi menteri besar baru.
“Jika kamu kata ya, saya akan undi kamu; jika tidak, saya tidak akan undi kamu; dan jika jawapan kamu tidak pasti, saya pun tidak pasti akan undi kamu,” kata seorang guru Robert Tan.
Anwar kemudian menjawab: “Kamu beri saya tiga pilihan, saya akan jawab begini:
“Cikgu Robert Tan, tuan, sokong saya di Kajang dan kita akan buktikan kamu buat pilihan yang betul.”
Anwar turut main peranan penting jayakan Op Lalang
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting menjayakan Op Lalang pada 1987 menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sambil menafikan tuduhan Anwar bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam operasi yang menyaksikan 108 pemimpin politik dan aktivis ditahan, Dr Mahathir berkata sebagai seorang anggota Kabinet ketika itu, Anwar perlu bertanggungjawab.
"..kecuali kalau beliau berkata, saya meletak jawatan kerana tidak bersetuju. Dia tidak pernah berkata seperti itu.
Beliau setuju, sokong semua termasuk ISA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemikiran Kassim Ahmad "Suatu Penilaian" anjuran Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dr Mahathir juga menyifatkan Ketua Umum PKR itu sebagai 'ahli putar belit' dan bukan pemikir ideal, dan PKR ditubuhkan semata-mata untuk mencapai cita-citanya.
Katanya, Anwar sentiasa mempotretkan dirinya sebagai manusia yang tidak pernah bersalah dan berdosa, demi kepentingan peribadi dan karier politik.
"Dia punya parti itu bukan Parti Keadilan tetapi Parti KeAnwaran, semuanya untuk Anwar dan keluarga dia, bukan untuk bangsa, agama dan lain-lain. Malah bukan untuk ideologi.
"Dia memang ahli putar belit, ahli (parti) menafikan apa yang dia kata dulu dan memberi imej baharu seolah-olah dia ini tak pernah berdosa, tak pernah salah dan selalunya betul.
Kalau Anwar betul, hari ini dia jadi Perdana Menteri," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata Anwar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi orang ramai dengan cara berilmiah, tetapi pada hakikatnya beliau bukan seorang pemikir atau pemimpin yang boleh memimpin negara ini.
"Dia bukan pemikir, tetapi dia pandai berpidato. Dia pandai bercakap untuk meyakinkan orang tentang kebenaran dirinya.
Orang yang menggunakan perkataan untuk kepentingan, bukan menggunakan perkataan untuk kebenaran. Inilah Anwar.
"Bila dia cakap, bunyi cukup baik. Sehingga saya pun yakin, Dia menggunakan akal fikirannya untuk memutar belit dengan cara berilmiah," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.