KUALA LUMPUR: Pesta Muzik Planet Eupe yang bakal diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 1 Mac 2014 menjadi festival muzik terbesar di Utara Malaysia menggabungkan barisan artis tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Eupe Corporation Berhad, Datuk Beh Huck Lee berkata, pemilihan negeri itu sebagai tapak acara adalah sebagai salah satu usaha mengubah landskap budaya dan muzik di negara ini yang kebanyakannya tertumpu di Kuala Lumpur.
"Tujuan kami mengadakan konsert ini untuk membuka lembaran baharu negeri di utara sebagai salah satu tempat yang bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi juga mampu menarik pelancong luar dengan pelbagai aktiviti seperti konsert yang bakal diadakan.
"Usaha ini juga sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan negeri di utara pada peta dunia dengan penganjuran konsert bertaraf antarabangsa ini," katanya kepada mStar Onlineketika ditemui pada sidang media konsert itu di Hotel Hilton di sini, Khamis.
Pesta Muzik Planet Eupe akan diadakan di Taman Air Carnivall Eupe, Cinta Sayang Resort bermula pukul 6 petang.
Barisan artis yang bakal terlibat seperti Wang Lee Hom, Yuna, Najwa Latif, U-KISS dan Jeannie Hseih.
Buat pertama kali sebuah festival muzik diadakan secara besar-besaran di Kedah.
Manakala artis Cina tempatan turut memeriahkan acara seperti Orange Tan, Da.Mon.Ster, KahJun dan Mint G.
Tambah Beh, pihaknya menyasarkan penonton dari negeri-negeri di utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk menghadiri konsert tersebut namun berharap ia turut disertai oleh penonton dari negeri lain di Malaysia.
Pihak Eupe Corporation Berhad juga merancang untuk menjadikan pesta ini sebagai acara tahunan sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Biarpun konsert ini diadakan di utara tanah air namun kami turut menyasarkan hadirin akan hadir dari seluruh Malaysia kerana sambil menonton persembahan artis mereka juga boleh melancong ke Kedah yang terkenal dengan pelbagai keunikan," ujarnya.
Dalam pada itu, Beh tidak menafikan kemunculan kumpulan K-Pop iaitu U-KISS adalah sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung terutamanya di kalangan remaja yang meminati muzik daripada Korea Selatan.
Tambahnya lagi, pemilihan Yuna juga dibuat sebagai salah satu penghormatan buat penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat itu bagi memberi inspirasi kepada peminat dan pengunjung.
"Wang Lee Hom mempunyai peminat cukup besar di Malaysia dan kami yakin dia dapat menarik pengunjung dan begitu juga U-KISS yang menjadi fenomena di kalangan peminat muzik K-Pop.
"Semua barisan artis terutama daripada luar negara cukup menyokong pesta ini dan berjanji akan memberikan persembahan bertenaga kepada penonton," katanya.
Sementara itu, Beh berkata, pihaknya menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akan memenuhi tapak konsert itu nanti yang turut mempunyai pelbagai aktiviti lain sebelum acara utama bermula.
Kata Beh, pada hari itu juga akan diadakan pertandingan pemilihan peserta daripada Malaysia untuk mewakili negara dalam Kejohanan Tarian Antarabangsa Hip Hop yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini serendah RM90 (berdiri), RM190 (berdiri), RM290 (tempat duduk bernombor) dan RM390 (tempat duduk bernombor).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.