Cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Barisan
Nasional (BN) tidak perlu meletak calon dalam pilihan raya kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika berasa ia satu pembaziran
mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Exco Selangor.
Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail (gambar) berkata,
masih belum terlambat untuk BN bertindak dan memberi kemenangan percuma
kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau Umno rasa dengan berlakunya PRK Kajang ini satu pembaziran,
jangan bertanding. Beri laluan kepada calon PKR. Amacam?,” katanya
sebagaimana yang dilaporkan Selangorkini, laman rasmi kerajaan negeri
Selangor.
Sementara itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin dalam tulisan di
blognya menyindir Umno yang pernah melakukan tindakan sama pada 1997
ketika mahu menggantikan Tan Sri Muhammad Mohd Taib sebagai Menteri
Besar Selangor.
Katanya, Tan Sri Abu Hassan Omar yang menjawat posisi menteri kabinet
meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor, manakala
Jamaluddin Adnan pula berundur sebagai Adun Permatang bagi memberi
laluan kepada Abu Hassan.
Beliau berkata, tindakan itu memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengadakan dua PRK setelah Abu Hassan dan Jamaluddin bertukar kedudukan.
“Jika PRK DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar dilantik
sebagai Menteri Besar Selangor dianggap membazir, maka dua PRK serentak
ketika mahu melantik Abu Hassan dulu tentu jauh lebih membazir lagi,”
katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PRK Kajang
yang akan datang adalah pembaziran wang awam oleh Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata, keputusan mengadakan pilihan raya itu hanya sekadar untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalam PKR.
Nik Aziz dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau muak dengan
akhbar-akhbar pro Umno yang memainkan isu kononnya langkah mengosongkan
kerusi itu ialah langkah memanipulasi demokrasi.
"Barangkali Umno lupa, langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah
langkah yang benar-benar jijik iaitu membelakangkan terus demokrasi dan
merampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno jangan berlagak baik
sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan," katanya.
Beliau juga mencabar Umno dan BN, jika mereka berpandangan pengosongan
kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses
demokrasi, jangan sekali-kali meletakkan calon di dalam PRK itu nanti. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.