Spekulasi mengenai peletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri
Abdul Taib Mahmud timbul kembali dan beliau dijangka akan melepaskan
jawatan bulan ini, lapor Berita Harian.
Menurut Berita Harian, keputusan untuk berundur selepas 33 tahun
menerajui Sarawak dijangka akan dimaklumkan ketika mesyuarat khas Majlis
Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sabtu ini.
Abdul Taib, 78, juga dikatakan akan mengadakan mesyuarat khas bersama
semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan
Nasional (BN) Sarawak pada hari Ahad.
Akhbar itu memetik sumber yang turut memaklumkan Abdul Taib sudah memilih beberapa calon dengan kriteria yang diinginkannya.
Berdasarkan kenyataan sumber itu kepada Berita Harian, tiga nama sudah
dikenal pasti akan menggantikan beliau, iaitu Menteri Tugas-Tugas Khas,
Tan Sri Adenan Satem, 69; Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari
Openg, 64; dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Awang
Tengah Ali Hasan, 58.
Selain itu, turut disebut calon bakal menggantikan beliau adalah bekas anggota Kabinet Pusat, Datuk Seri Effendi Norwawi, 66.
Abdul Taib sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur ketika pilihan raya negeri itu pada 2011.
Bagaimanapun, sehingga awal 2014, ianya masih belum berlaku.
"Ada yang menyatakan Taib akan dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak
menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin yang akan tamat tempoh pada
28 Februari ini," lapor Berita Harian.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.