Followers

Saturday, February 8, 2014

PRK Dun Kajang: Isu ekonomi, ketegangan agama jadi modal kempen Anwar

 
Kenaikan kos sara hidup selain polemik ketegangan kaum dan agama terus menjadi intipati utama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi Pakatan Rakyat (PR) yang berlangsung malam tadi di Dataran Prima Saujana, Kajang.

Biarpun masuk hari ketiga ceramah diadakan, kempen PRK itu tetap mendapat sambutan daripada penduduk Kajang yang hadir, dan tumpuan sudah tentu diberikan kepada calon PR bagi kerusi DUN tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua umum PKR itu dalam ucapannya menegaskan peningkatan kos sara hidup boleh dipulihkan sekiranya kerajaan persekutuan menghentikan keuntungan kepada syarikat yang dimonopoli oleh kroni-kroni pemimpin Barisan Nasional (BN).

Hujah Anwar itu didengar khusyuk oleh hadirin, biarpun duduk dalam keadaan kurang selesa dengan hanya beralaskan surat khabar selama hampir sejam ucapan berlangsung.

Malah, sesetengah juga dilihat bersorak dan mengiyakan setiap kali Anwar, yang juga merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berhujah.

Selain itu, Anwar menyelar tindakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menawarkan ganjaran wang kepada sesiapa yang dapat menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dari DAP.

Anwar turut menyelar perbuatan lebih kurang 50 orang daripada NGO Islam itu yang bertindak menyembelih ayam dan melumurkan darah kepada kain rentang yang terdapat wajah pemimpin Cina DAP dan PKR.

"Ini perbuatan paling tidak masuk akal NGO Islam... Islam apa ini?

"Dan paling hairannya apabila berlaku insiden begini, di manakah pemimpin Umno? Di manakah pemimpin BN? Langsung tidak ada seorang pun yang tampil bercakap," katanya sambil disambut oleh hadirin, "Betul... betul itu, mana mereka berani nak kata, Datuk Seri."

Program malam tadi turut dihadiri oleh beberapa pemimpin PR lain seperti Ahli Parlimen Subang Jaya, R Sivarasa, Tamrin Ghaffar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie.

Terdahulu, Anwar menghadiri majlis minum petang bersama penduduk di Taman Delima, dan kemudiannya menunaikan solat dan tazkirah Maghrib di Surau Taqwa, Taman Kota Cheras.

PRK Kajang terpaksa diadakan selepas bekas Adun PKR, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang, Anwar yang dikatakan akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor bagi meredakan ketegangan antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.

Dalam PRU13, Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.

Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pada Rabu, tarikh PRK bagi kerusi DUN Kajang jatuh pada 23 Mac.

PR sudah mengumumkan secara rasmi, Anwar akan mewakili mereka.

Sehingga kini, calon BN masih belum dikenalpasti.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.