SHAH ALAM 12 FEB : Demi prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, satu jawatankuasa khas dilantik Menteri Besar bagi memantau perbelanjaan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu PKNS Holdings Sdn Bhd.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu terdiri daripada tiga orang anggota Exco Selangor; Iskandar Abdul Samad, Rodziah Ismail dan Datuk Teng Chang Khim bagi memantau secara dekat perbelanjaan dana PKNS.
“Selepas perbincangan dengan Pengurus Besar PKNS, Azlan Alfiah berkenaan pengurusan kewangan PKNS sejak enam tahun lalu, kami mendapati terdapat isu yang melibatkan tatacara penggunaan dan perbelanjaan dana yang perlu diperbaiki.
“Tambah pula, kita telah dimaklumkan terdapat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan kononnya berlaku salah guna dana untuk pasukan bola sepak yang masih belum selesai,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang tadi.
Katanya, pemantauan itu akan melibatkan dana perbelanjaan untuk pasukan bola sepak PKNS sebanyak RM9 juta setahun, pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun dan perbelanjaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM30 juta setahun.
“Kami akan memantau perkembangan PKNS dengan teliti untuk memastikan sumber syarikat diuruskan secara profesional dan telus.
“Ini penting untuk memberi manfaat maksimum kepada rakyat Selangor selaras dengan agenda Hasil Negeri Untuk Rakyat,” katanya lagi.
EZY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.