Di kala keributan pelbagai isu panas antara agama yang berlaku di Pulau
Pinang, laporan sebuah akhbar bahawa seorang guru menangkap tiga lelaki
kerana mengedarkan Bible berbahasa Melayu kepada anak Melayu di negeri
itu dipercayai hanya laporan palsu yang tidak berlaku sebenarnya.
Exco
kerajaan negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim, berkata laporan itu
bukan sahaja mengelirukan malah menimbulkan persoalan kerana difahamkan
tiada laporan polis dibuat oleh pihak terbabit.
Pihak polis juga tidak menerima penyerahan tangkapan suspek oleh
mana-mana pihak berhubung pengedaran Bible Melayu kepada pelajar Islam
ini.
Laporan ini adalah rentetan provokasi melampau dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini di Pulau Pinang.
Provokasi kain rentang, serangan bom api di gereja, di balai polis,
kononnya pengedaran bible Melayu, kononnya ancaman ke atas masjid dan
terkini penodaan masjid Cherok Tok Kun dengan daging dipercayai khinzir
adalah serangan provokasi bentuk baru. Semuanya bermotif jahat," kata
Malik dalam kenyataan medianya hari ini.
Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, berkata polis tidak menerima
penyerahan tangkapan suspek oleh mana-mana pihak berhubung dengan
pengedaran Bible Melayu kepada pelajar Islam.
Malah, katanya, pihak berkenaan enggan memberikan kerjasama dengan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) yang turun padang menyiasat
insiden itu.
"Ini menimbulkan keraguan tentang kesahihah insiden itu seperti dilaporkan akhbar berkenaan 16 Februari lalu," katanya.
Exco Agama Pulau Pinang, Nor Amin Ahmad, berkata Pengerusi Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin yang
bertanggungjawab atas kenyataan media itu difahamkan mempunyai
kecenderungan fahaman politik yang berbeza dengan kerajaan negeri.
"Siasatan pihak saya pula mendapati wartawan berkenaan mula menghidu
kisah itu melalui laman Facebook Nor Amin, lalu menghubungi beliau.
"Nor Amin mengakui kepada wartawan berkenaan beliau hanya mendengar
kisah itu daripada seorang ‘guru misteri,’ yang kini sedang dijejaki
polis," kata Malik. Tinjauannya mendapati Nor Amin memadamkan kisah itu
daripada akaun Facebooknya.
"Saya menyeru pihak berkenaan bekerjasama dengan tampil mengemukakan
bukti dan laporan, agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan
terperinci," katanya.
Malik berkata, golongan pelampau sama ada pelampau kaum, lebih-lebih lagi pelampau agama tidak ada tempat dalam masyarakat.
Katanya, ia perlu dibanteras sebelum benihnya tumbuh dan menjalar seluruh negara.
Beliau berkata, pada masa kini golongan pelampau dan perosak dilihat
cuba menganggu gugat keharmonian rakyat dengan provokasi fitnah berbaur
perkauman dan agama.
Sebelum PRU13, Pulau Pinang dijadikan sasaran peserta demonstrasi pro
Umno/BN yang hampir saban minggu cuba menyalakan api perkauman dan
agama.
Namun, ia ditolak melalui undi popular rakyat sebanyak 68% yang memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Kini strategi itu seolah-olah diubah dengan pendekatan yang berbeza namun matlamatnya yang sama.
"Kita yakin golongan perosak dan pelampau itu akan meneruskan agenda
mereka lebih-lebih lagi ia seolah-olah direstui pihak tertentu," kata
Malik dalam kenyataannya.
Malik berkata, dakwaan bahawa kerajaan PR Pulau Pinang sedang merancang
untuk mengharamkan khutbah Jumaat juga berkaitan dengan usaha
menimbulkan keresahan antara agama dan kaum di negara ini.
"Ia fitnah yang begitu meloyakan kerana khutbah Jumaat adalah sebahagian
rukun sah solat Jumaat. Mengharamkan khutbah Jumaat seumpama
mengharamkan solat Jumaat dan menutup masjid. Hanya mereka tidak waras
akan mengeluarkan tohmahan sebegitu," kata Malik.
Sebelum PRU lalu, pihak pelampau menghebohkan kononnya Pulau Pinang
mengharamkan laungan azan. Fitnah itu termakan oleh sebahagian rakyat
luar Pulau Pinang. Semua fitnah yang menjengkelkan itu langsung tidak
berasas dan bermotif jahat," kata Khalid.
Malik berkata, kerajaan negeri sentiasa yakin bahawa saling menghormati,
keharmonian dan keamanan dalam masyarakat yang pelbagai adalah asas
untuk membina sebuah 'Pulau Pinang Baru.'
Ia boleh dicapai apabila kita meraikan keunikan dan perbezaan sesama
kita, bukannya melalui provokasi oleh pelampau kaum dan agama. Katanya,
rakyat juga perlu tolak provokasi melampau oleh golongan pelampau.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.