Followers

Tuesday, February 11, 2014

Kes Rasuah Bekas Setpol Shahrizat, Mana Suara Najib?

 

 

Walaupun Peguam Negara, Gani Patail menafikan adanya campurtangan politik dalam kelewatan pertuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Shahrizat Jalil yang sebelum ini sudah dinyatakan akan didakwa di mahkamah oleh SPRM tetapi tiba-tiba dibatalkan bila tiba waktunya, namun ia sama-sekali tidak berupaya menghentikan orangramai daripada terus bercakap mengenainya.

Sebelum ini SPRM telah membuat kenyataan bahawa bekas Setpol bergelar Datuk itu akan didakwa di mahkamah selepas dibebaskan dengan ikat jamim RM50 ribu. Bekas Setpol terbabit didakwa terbabit dengan rasuah berjumlah RM1.1 juta melalui penyalahgunaan dana 1Azam yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Bagaimanapun apa yang ditunggu itu tidak menjadi kenyataan sehingga ia menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan orangramai.

Hanya pada lewat petang hari yang sepatutnya Setpol itu didakwa, barulah SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa pendakwaan itu ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian tetapi tidak memberi sebarang alasan mengenainya.

Berikutan tiadanya pendakwaan seperti yang disebut pada awalnya oleh SPRM itu, Pengerusi Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Johan Jaafar telah meluahkan rasa bimbangnya dengan perkembangan ini kerana menimbulkan tanggapan adanya campurtangan luar mengenainya.

Johan kemudian telah mengadakan pertemuan dengan Gani Patail dan diberi jaminan bahawa tiada campurtangN politik atau pendakwaan terpilih dalam kes ini, sebaliknya penangguhan dibuat hanyalah berujuan memberi lebih masa kepada SPRM mengumpul lebih bukti bagi menyokong kes itu.

Wujudnya persepsi umum adanya campurtangan politik dalam kes itu memang tidak dapat dielakkan memandangkan ketika SPRM memaklumkan akan membawa sesuatu kes ke mahkamah dengan menyebut tarikh, masa dan mahkamahnya, biasanya kes itu telah pun mempunyai cukup bukti dan dan juga sudah mendapat persetujuan daripada pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

Pembatalan pada saat-saat akhir tentunya menimbulkan tanggapan adanya campurtangan politik mengenainya. Dalam hal ini siapa lagi yang boleh mengarah SPRM dan Peguam Negara selain daripada Perdana Menteri?

Selain hanya Najib Razak yang dilihat mempunyai kuasa untuk masuk campur, hubungan Shahrizat yang rapat dengan keluarga Perdana Menteri juga ditimbulkan sebagai asas kemungkinan berlakunya campurtangan itu. Wujud tanggapan bahawa Shahrizat telah merayu kepada Perdana Menteri agar menggugurkan kes tersebut bagi menjaga namanya sebagai Ketua Wanita UMNO.

Di sebalik penafian Gani Patail bahawa ada campurtangan politik dalam penangguhan kes ini, hanya Tuhan yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi orangramai tetap mengharapkan kes ini akan dibawa juga ke mahkamah akhirnya supaya kes yang merosakkan nama kerajaan ini dapat diadili, lebih-lebih lagi ia melibatkan dana yang diwujudkan untuk membantu golongan miskin.

Dalam hal ini, penafian Gani sahaja tidak memadai sebenarnya. Najib perlu bersuara dan menyatakan pendiriannya serta kerajaan mengenai kes itu memandangkan di sebalik penangguhan tersebut, nama beliau dipalitkan secara langsung dalam banyak sessi perbualan, dari kedai kopi di hujung kampung hinggalah ke coffee house di hotel-hotel mewah.

Dalam semua perbualan itu, nama Najib selaku Perdana Menteri dan hubungan keluarganya yang rapat dengan Shahrizat telah dikaitkan sehingga kes itu dibatalkan untuk dibawa ke mahkamah pada saat-saat akhir.

Hanya dengan Najib bersuara bahawa tiada campurtangan politik dan beliau menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada SPRM dan Peguam Negara menjalankan kerjanya secara bebas berdasarkan bukti dan undang-undang yang ada, barulah sekurang-kurangnya ia dapat memulihkan keyakinan umum.

Selagi beliau berdiam diri dan membisu, selagi itulah beliau akan terus dikaitkan.

Daripada segi yang lain, setelah isu lembu NFC yang juga melibatkan keluarga Shahrizat yang begitu lambat diambil tindakan oleh Najib sehingga timbul andaian mengenai percubaan melindunginya, membawa kes rasuah ini segera ke mahkamah adalah langkah terbaik untuk membuktikan kerajaan bukan saja berusaha bersungguh-sungguh menangani rasuah, malah menolak hubungan rapat dengan Shahrizat telah mempengaruhinya untuk mengenepikan undang-undang.

Dan sebelum kes Setpol Shahrizat ini benar-benar dibawa ke mahkamah untuk didakwa, Najib seharusnya bersuara dahulu menyatakan pendirian tiadanya campurtangan beliau serta ketegasannya agar kes ini diteruskan untuk diadili dan dijatuhkan hukuman.

Hanya dengan bersuara sekurang-kurangnya membantu memulihkan imejnya tetapi dengan Najib sehingga in memilih untuk terus menyimpan suaranya, persepsi buruk lebih membebankannya.

SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.