Followers

Monday, February 10, 2014

Kempen awal DUN Kajang: Penduduk buat laporan polis


HULU LANGAT - Beberapa wakil penduduk dari lima taman perumahan di Kajang di sini, membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berkempen awal iaitu sebelum pengumuman penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Dalam laporan tersebut, mereka turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Anwar yang beberapa kali menyampaikan tazkirah di beberapa buah surau sejak minggu lalu, meskipun tanpa pentauliahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Wakil penduduk Taman Desa Seri Jenaris, Nurazmin Mohd. Zamry, 38, berkata, kehadiran Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bermotifkan politik kerana berlaku sejak beliau mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Ini bertentangan dengan peraturan kerana dia tiba-tiba hadir berkempen dan memberi tazkirah politik di surau-surau meskipun penamaan calon lambat lagi.

"Terbaru adalah dia bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkempen pada waktu petang di Pusat Komuniti Sungai Kantan iaitu tempat yang sepatutnya menjadi pusat riadah penduduk kampung," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut di Balai Polis Kajang, di sini hari ini.

Yang turut hadir membuat laporan sama pada pukul 11.30 pagi itu adalah wakil-wakil penduduk dari Taman Kantan Permai, Taming Impian, Taman Prima Saujana dan Taman Saujana Damai.

Anwar dinamakan sebagai calon PKR dalam PRK DUN Kajang yang dijadual berlangsung 23 Mac ini berikutan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang daripada parti itu, Lee Chin Cheh bagi membolehkan beliau bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu lalu telah menetapkan penamaan calon adalah pada 11 Mac depan iaitu tarikh sah bagi mana-mana calon dan parti bertanding menjalankan kempen berdasarkan Akta Pilihan Raya.

Berdasarkan akta tersebut, kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan pada pukul 12 tengah malam sebelum hari mengundi justeru mana-mana kempen yang dijalankan di luar waktu tersebut menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002.

Wakil penduduk Taman Prima Saujana, Saiful Anuar Mamed, 38, berkata, JAIS perlu segera menghalang perbuatan Anwar memandangkan tazkirah yang disampaikan turut diselitkan dengan isu politik bagi mempengaruhi sokongan pengundi.

"Kami mempersoalkan kredibilitinya yang tiba-tiba datang menyampaikan tazkirah di surau-surau di sini sedangkan selama ini dia tidak pernah datang," katanya.

Razali Tan, 49, dari Taman Kantan Permai berkata, kehadiran Anwar ke taman perumahan itu meresahkan penduduk kampung yang selama ini hidup dalam suasana harmoni.

"Tiba-tiba sahaja perbezaan fahaman politik merenggangkan hubungan segelintir kami. Anwar datang ke sini bukan untuk makan sate Kajang tapi untuk berkempen dan meraih undi menyebabkan timbul sentimen kepartian dalam kalangan penduduk," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.