Followers

Thursday, February 13, 2014

Dr Mahathir sokong Adenan ganti Taib

 
Tan Sri Adenan Satem adalah pilihan yang tepat menerajui Sarawak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar fail.
Tan Sri Adenan Satem adalah pilihan yang tepat menerajui Sarawak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar fail. 



Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan Tan Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri Sarawak baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkuat kuasa 1 Mac ini sebagai pilihan paling baik.
 
Bekas perdana menteri itu berkata, Adenan pernah menjawat menteri sumber asli dan alam sekitar di peringkat persekutuan serta memegang banyak jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri menjadikan beliau kaya dengan pengalaman bagi membolehkannya memimpin Sarawak dengan cemerlang.

"Memang satu pemilihan yang baik kerana beliau mempunyai pengalaman dalam kerajaan negeri dan juga persekutuan. Sekarang ini beliau perlu tumpukan segala-galanya (perhatian) sebagai ketua menteri Sarawak baharu," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

Pelantikan Adenan yang juga menteri tugas-tugas khas Sarawak diumumkan sendiri Abdul Taib semalam selepas mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak (TYT), Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Terdahulu, Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada Seminar dan Forum Buku Perdana anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Buku Negara 2014 kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.

Mengulas lanjut mengenai peralihan kuasa di Sarawak, Dr Mahathir berkata, langkah tersebut wajar kerana Abdul Taib sudah lama memerintah dan berharap semua pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dapat mengalih kesetiaan kepada Adenan.

"Setelah dipilih siapa ketua menteri, tugas mereka ialah mengalih kesetiaan kepada Adenan. Jangan sesama mereka berkelahi dan berpecah. Nanti kita jadi lemah baik di pihak yang menang mahupun yang kalah," katanya.

Menjadi soalan Abdul Taib bakal menjadi TYTSarawak baharu bagi menggantikan Abang Muhammad pula, beliau berkata, tiada orang yang lebih layak memegang jawatan tersebut selain Abdul Taib sendiri.

Adenan yang juga ketua penerangan PBB dipilih pada 2011 sebagai calon PBB dalam pilihan raya negeri Sarawak, untuk mempertahankan kerusinya Tanjung Datu, yang dimenanginya dengan majoriti selesa.

Adenan merupakan antara tiga personality yang dijangka mengambil alih jawatan ketua menteri. Dua lagi adalah Naib Presiden PBB, Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Presiden, Datuk Abang Johari Openg.

Taib memimpin Sarawak selama 33 tahun dan berkhidmat dengan semua perdana menteri Malaysia bermula sejak zaman perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. – 13 Februari, 2014.

The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.