Followers

Wednesday, February 19, 2014

Anwar tidak anggap Zaid, calon bebas lain sebagai pencabarnya di Kajang

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menganggap bekas rakan seperjuangannya dalam PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan calon bebas lain sebagai pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, dan mengatakan cabaran besarnya datang daripada calon Barisan Nasional (BN).

Ketua pembangkang itu, yang merupakan calon PKR bagi kerusi DUN Kajang tidak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi mengatakan calon bebas tidak mempunyai dana, jentera dan sokongan media seperti calon BN.

"Saya rasa pertempuran adalah dengan calon BN. Isunya apa yang BN akan katakan.

"Saya tidak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi dengan jentera, dana dan sokongan media, kita mesti menjadi realisitik dan mengiktiraf, sebaik sahaja BN mengumumkan calon mereka, mereka akan berkempen secara besar-besaran," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada hujung Januari lalu.

Zaid mengumumkan minggu lepas beliau akan melawan Anwar di Kajang bagi memastikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus kekal sebagai menteri besar Selangor.

Katanya tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang adalah tidak wajar dan memberikan amaran krisis politik bakal berlaku di Selangor jika Abdul Khalid eggan meletakkan jawatan.

Anwar enggan mengulas kenyataan Zaid itu dengan mengatakan terpulang kepada rakyat Kajang untuk membuat keputusan.

Akan tetapi beliau turut menggelar Zaid yang merupakan bekas anggota Kabinet di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai flip-flop.

"Dua minggu lalu dia kata dia sokong saya sebagai menteri besar, sekarang dia kata dia tidak sokong saya jadi Adun. Bagaimana saya nak jadi MB jika tak jadi Adun?" soal Anwar.  TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.