NaibPresiden PKR Tian Chua hari ini dihukum penjara sebulan dan denda
RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah tidak mematuhi
perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan
Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Hakim Mahmud Abdullah memerintahkan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua
Tian Chang, 51, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Bagaimanapun, Mahmud membenarkan permohonan peguam Eric Paulsen yang
mewakili pemimpin pembangkang itu, untuk menangguhkan pelaksanaan
hukuman penjara sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu
selesai.
Mahkamah menaikkan jumlah wang jaminan daripada RM500 kepada RM1,000.
Mahmud dalam keputusannya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan
keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, selepas mendengar keterangan
sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.
Tian Chua, yang juga Ahli Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah
terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah pegawai polis, DSP A
Rajagopal untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan
larangan mengikut Perintah Kawasan-Kawasan Larangan 1975.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak, Kuala
Lumpur pada jam 2.30 pagi 29 April 2012, iaitu sehari selepas
perhimpunan Bersih 3.0.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat
Larangan 1959 (Akta 298) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama
yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum
RM1,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff memohon hukuman
setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius
walaupun tiada kecederaan berlaku semasa tertuduh berada di Pulapol.
"Sebagai Yang Berhormat, tertuduh perlu memberi contoh yang baik kepada
masyarakat, tetapi dia melanggar perintah polis.
Pohon beri hukuman
setimpal dalam bentuk pemenjaraan bagi memberi pengajaran kepada
tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.
Eric pula memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kepada anak
guamnya atas alasan ia adalah satu kesalahan teknikal yang tidak membawa
apa-apa keuntungan kepada orang ramai dan tertuduh. -
Bernama, 23
Januari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.