Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak dapat
menyembunyikan tekanan dengan langkah politik PKR hari ini.
Rakyat
secara umum mengetahui PKR, dengan dukungan Parti Islam SeMalaysia (PAS)
dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersetuju bersama atas semangat
Pakatan Rakyat untuk meletakkan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang, yang
kosong akibat peletakan jawatan Lee Chin Cheh.
Reaksi pantas Khairy Jamaluddin sebagai selebriti media sosial dijangka,
dengan segera memperolok-olokkan Anwar atas keputusan tersebut yang
secara jelas mendedahkan bahawa Umno Barisan Nasional cuba mengalihkan
perhatian rakyat yang berminat untuk mengetahui senario politik di
Selangor ini.
Saya tidaklah memandang berat komen kosong Khairy Jamaluddin tersebut,
tetapi inilah bentuk tekanan awal yang dizahirkan oleh pimpinan Umno
Barisan Nasional.
Sejak awal lagi, Umno Barisan Nasional cuba membina persepsi negatif
terhadap perkembangan tersebut melalui tweet dan sebaran media sosial
kerana menyedari impak penyertaan Anwar ke dalam kancah politik Selangor
secara khususnya, yang hampir pasti memberi pukulan lebih hebat kepada
mereka pada masa ini sudah tidak lagi relevan di Selangor.
Anwar mahu jadikan Selangor sebagai model pentadbiran di Putrajaya
Memang wujud tekanan dan persepsi berbeza daripada semua golongan, dan
PKR berbesar hati untuk menerima perbezaan tersebut. Benar akan berlaku
sebuah pilihan raya kecil yang menurut sesetengah pihak, sebagai
membazirkan wang rakyat, namun, meneliti keperluan dan permintaan untuk
menyediakan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat, maka Anwar
mengambil langkah progresif dan berani sebagai persediaan Selangor
menjadi model pentadbiran di Putrajaya kelak.
Tindakan ini mungkin tidak popular, tetapi PKR yakin ia adalah strategi
terbaik dan penuh perancangan serta dedikasi supaya apa yang
diperjuangkan selama ini kembali ke landasan yang tepat dan ini adalah
harga yang perlu dibayar untuk sebuah perubahan.
Anwar Ibrahim dan PKR komited dengan janji untuk sebuah pentadbiran yang
lebih telus dan berani walaupun berdepan kritikan dan teguran.
Pentadbiran Pakatan Rakyat yang memasuki usia enam tahun di Selangor
serta Pulau Pinang bukanlah seperti anak kecil yang merangkak.This child
is growing, dan bersedia menempuh fasa baru yang lebih matang dan
mencabar.
Anwar kini adalah pemimpin, yang bersedia berkongsi pengalaman luasnya
di dunia politik untuk manfaat bersama rakyat Selangor. Kini, beliau
berpeluang berperanan lebih jelas dalam pentadbiran Pakatan Rakyat
Selangor.
Hubungan Pakatan Rakyat erat dan tidak mudah goyah
PKR menelusuri 15 tahun penubuhannya dengan isu dan cubaan politik yang
pelbagai. Malah dari tempoh waktu itu, 6 tahun parti ini membina
setiakawan dan pakatan yang erat dengan PAS dan DAP.
PKR menerima baik
perbezaan pendapat dan yakin bahawa hubungan ini sangat erat dan tidak
mudah goyah dek satu lagi cubaan politik baru.
Saya menyedari wujud usaha untuk menggeserkan hubungan erat dalam
Pakatan Rakyat, namun meyakini bahawa setiakawan yang terbina sejak
penggal lalu akan menjadi sandaran untuk Pakatan bersama menempuh sekali
gus meningkatkan kembali pemahaman dan keyakinan rakyat terhadap
matlamat kami.
Iltizam untuk memberikan reformasi pentadbiran kepada rakyat Malaysia,
nyata mengatasi segala-galanya. PKR bersama PAS dan DAP tidak akan layu
dek kerana label dan momokan kosong yang menjadi acahan Umno Barisan
Nasional bagi mengalih isu semasa.
Khairy, dalam peranan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia Sukan
tidak harus ghairah menjadi populis, sedangkan pentadbiran kerajaan
persekutuan Umno Barisan Nasional lebih tenat dan melupakan kepentingan
dan kebajikan rakyat.
Khairy boleh memilih untuk menghiburkan pengikutnya di laman sosial dan
menjadi selebriti politik, tetapi jangan sesekali cuba menyembunyikan
tekanan dan keresahan dengan penyertaan Anwar ke DUN Selangor.
Tekanan
Khairy begitu dirasai, dan saya yakin tekanan ini sedang membara dan
sedikit masa lagi Umno Barisan Nasional akan berhabis-habisan menyerang
peribadi calon PKR di N25 Kajang.
PKR komited untuk terus melawan bagi menjadi pemangkin perjuangan rakyat. Lawan tetap lawan!
Manivanan Gowin
Ahli PArlimen Kapar
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.