Secara
peribadi saya meramalkan bahawa seandainya PM Najib Razak tidak
menyerang balas, menjana pembaharuan yang menyeluruh, maka beliau
mungkin menjadi Perdana Menteri keempat yang dijatuhkan Dr Mahathir,
menyusul langkah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah
Ahmad Badawi.
Biar kita imbas bagaimana Abdullah ditumbangkan Mahathir.
Abdullah
mengambil alih tampuk kuasa dengan menonjolkan imej “Saya bukan
Mahathir”, didukung dengan suara rakyat. “Bukan- Mahathir” bermaksud,
lebih demokratik, lebih bebas, dan lebih lemah-lembut dari segi politik,
malah kurang kronisme dari segi ekonomi.
Namun
demikian, dengan cepat Abdullah terjerumus ke dalam kancah, sehingga
gagal membebaskan diri daripada lumpur.
Abdullah terjebak dengan
“Sindrom Gorbachev” selepas PRU11 pada tahun 2004, diselubungi
kekhuatiran bahawa kuasa boleh terlucut daripada tangannya seandainya
menggerakkan pembaharuan yang mendadak.
Akhirnya terlalu ramai muka-muka
dari puak konservatif dirangkum ke dalam Kabinetnya, sehingga gagal
memenuhi harapan reformasi daripada kalangan rakyat.
Lebih-lebih lagi,
pemikir dan penasihat yang seharusnya menjana pembaharuan di sisinya
pula dengan cepat terjebak ke dalam pertikaian amalan rasuah, lantas
hilang keabsahan dari segi politik.
Mahathir
menyerang kerajaan Abdullah buat kali pertama pada Jun 2005, dan
menyerang Abdullah secara peribadi pada Jun 2006. Yang selebihnya
tercatat sebagai sejarah.
Saya
perlu menambah mengapa Mahathir dikatakan memainkan peranan untuk
menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, secara ringkas dalam
ruang yang sekecil ini.
Kita sedia maklum Mahathir dipecat daripada
Umno selepas tragedi 13 Mei 1969, lantaran suratnya untuk mendesak agar
Tunku berundur.
Meskipun
Mahathir mendakwa surat itu adalah sulit, salinannya tersebar luas
diedarkan di sekitar Kuala Lumpur, dalam universiti dan kampung Melayu.
Mahathir mempersalahkan Tunku kerana tunduk kepada orang Cina. Tafsiran
Mahathir terhadap isu tragedi 13 Mei akhirnya diterjemahkan dalam hujah
dan dasar rasmi kerajaan. Tunku berundur pada tahun 1970.
Dalam
kes Hussein Onn pula, Mahathir adalah dalang yang menyokong Sulaiman
Ahmad (atau “Sulaiman Palestin”) untuk mencabar Hussein Onn dalam
pemilihan Umno pada tahun 1978, sungguhpun ramai yang menganggap bahawa
Harun Idris memainkan peranan di sebalik percaturan tersebut ketika itu.
Buat kali pertama sejak penubuhannya Umno menyaksikan pertandingan
jawatan Presiden, dan calon ini berjaya meraih kira-kira 20% undi.
Tujuannya bukan untuk menewaskan Hussein Onn tetapi untuk menghakis
kredibilitinya.
Jelas,
Mahathir adalah pihak yang menerima manfaat selepas Hussein Onn
berundur. Mahathir diasak dari kiri dan kanan, terutamanya oleh Menteri
Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie, sejak menjadi timbalan Hussein
Onn.
Malah Mahathir dituduh sebagai “ejen komunis”. Tiga hari sebelum
Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, setiausaha
politiknya Siddiq Mohamed Ghouse ditahan di bawah ISA atas tuduhan “ejen
KGB”!
Sememangnya Mahathir tidak sabar-sabar untuk menamatkan zaman
Hussein Onn.
Sejarah
berulang. Padahal kita tahu bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan
kerajaan pimpinan Najib sebelum PRU13 pada tahun 2013.
Namun, Mahathir
tetap berkempen untuk Umno kerana ingin memakbulkan impiannya agar
anaknya Mukhriz Mahathir dinobatkan sebagai Menteri Besar Kedah.
Kini,
Mahathir tidak terikat dengan apa-apa selepas kekalahan Mukhriz dalam
pemilihan Umno pada November 2013.
Dari apa yang diamati sepanjang
tempoh dua minggu pertama pada tahun 2014, nampaknya Mahathir telah
bersedia untuk “menukarkan” Perdana Menteri.
Kemungkinan Najib gagal
mengubah nasib dirinya.
Masalah
dengan Najib adalah beliau kurang ikhlas dalam pembaharuan, malah
langkahnya tidak setanding Abdullah.
Jikalau kita imbas kembali, ramai
yang menganggap bahawa Abdullah adalah golongan demokrat yang mempunyai
keikhlasan untuk membawa pembaharuan, tetapi tidak berkeupayaan dari
segi pelaksanaan.
Dari
segi hubungan etnik, walaupun menyaksikan kebangkitan golongan sayap
kanan pada zaman Abdullah, tetapi beliau masih dilihat berhasrat untuk
memupuk integrasi kaum, cuma momentumnya terlalu lemah.
Dari segi
rasuah, ramai yang menuduh kerajaan korup ketika zaman Abdullah. Namun,
kita rasa “Abdullah tidaklah sampai ke tahap sebegitu” apabila melihat
kemewahan dan keborosan pasangan suami isteri Najib dan Rosmah Mansor.
Najib
perlu memenangi undi di pertengahan dalam politik seandainya mahu
menyelamatkan dirinya. Najib perlu menangkis puak konservatif, memandang
berat keperitan rakyat jelata, mengasingkan dirinya daripada
Mahathirisme.
Jika tidak, Najib bakal menjadi PM keempat yang dijatuhkan
Mahathir, dan Malaysia akan menyaksikan kembalinya Mahathirisme.
Liew
Chin Tong adalah ahli Parlimen Kluang, merangkap Pengarah Biro
Pendidikan Politik DAP. Beliau boleh dihubungi di supportlct@
liewchintong.com
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.