Followers

Thursday, January 16, 2014

Kajian: Rasuah sebati dalam perniagaan di M'sia

 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendakwa Program Trasformasi Kerajaan yang antaranya meletakkan teras membasmi rasuah sebagai bidang keberhasilan utama negara, masih tidak menampakkan keberkesanan.

Naib ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata kegagalan itu boleh dirujuk antaranya laporan Transparency International terhadap Indeks Persepsi Korupsi (CPI) Disember lalu yang hanya meningkat satu tangga daripada 54 ke 53.

Selain pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang sarat dengan ketirisan dam pengurusan kewangan kerajaan, terbaru, pihak KPMG Malaysia pula membuat pendedahan yang juga memeranjatkan.

Laporan menerusi dapatan kajian Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013 itu mendapati bahawa 90 peratus daripada respondennya menyatakan, penipuan atau penyelewengan adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan dalam menjalankan operasi perniagaan di negara ini. 

Selain daripada penipuan, 70 peratus daripada responden pula mengakui bahawa budaya rasuah dan korupsi merupakan kebimbangan utama dalam perniagaan di Malaysia.

Malah, 59 peratus responden tidak bersetuju bisnes boleh dijalankan di Malaysia tanpa melakukan rasuah. 


Melihat profil mereka yang biasanya terlibat dengan penipuan, 58 peratus daripadanya merupakan golongan belia di bawah 40 tahun dan mempunyai pendapatan tahunan sekitar RM 25,000 hingga RM 40,000 atau RM 2,000 hingga RM 3,300 sebulan.

"Faktor utama menunjukkan bahawa sikap atau gaya hidup peribadi yang menyumbang ke arah atitud negatif ini dan disusuli dengan desakan tekanan kewangan.
 
"Jika inilah tanggapan rakyat Malaysia terhadap sektor perniagaan di negara ini, maka DPPM melihat ini satu tren yang sangat bahaya dan membimbangkan," katanya.

Menurut beliau lagi, meskipun sukar untuk digeneralisasikan, namun keboborkan ini mencerminkan sebahagian sisi gelap masyarakat kelas menengah yang berada dalam lingkungan usia muda.

"Tiada erti sebuah kemajuan jika pemimpin dan rakyatnya mundur dalam nilai integriti," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau juga mendesak kerajaan menjelaskan sejauhmana keberkesanan Ikrar Integriti Korporat 2011 (Corporate Integrity Pledge) yang telah dilaksanakan.

Ikrar Integriti Korporat 2011 adalah sebagai satu dokumen yang menzahirkan komitmen badan korporat untuk mewujudkan iklim perniagaan yang bebas daripada penyelewengan, rasuah dan korupsi.

"Sehingga kenyataan ini dibuat, hanya 284 syarikat sahaja yang telah menandatangani ikrar tersebut.

"Apa lagi mahu diharapkan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah di Malaysia?," soal beliau.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.