Followers
Wednesday, January 15, 2014
Janji dicapati di Kampung Chetti - Uthaya Sankar SB
Jaminan yang diberikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron kepada penduduk Kampung Chetti nampaknya hanya "janji Melayu" atau "janji dicapati".
Menurut laporan akhbar The Star (1 Januari 2014), Idris mengarahkan siasatan dibuat bagi mengenal pasti siapa yang meluluskan projek pembinaan di atas tanah Lot 93 yang bersempadan dengan perkampungan warisan itu.
Idris yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka dilaporkan mahu menyelesaikan isu itu dengan segera dan mengarahkan projek dihentikan sehingga menanti siasatan selesai.
Laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014) pula mengesahkan Idris mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui dalang yang bertanggungjawab meluluskan permohonan pembinaan projek kondominium dan hotel di tengah Kampung Chetti.
Idris juga dipetik berkata, beliau mengeluarkan arahan siasatan segera bagi mencari punca kepada masalah tersebut dan mahu siasatan lebih mendalam dilakukan pada kadar segera bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang memberi kelulusan serta membenarkan projek itu dibina.
Dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) pula, Pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan memberikan jaminan parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara.
Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC tampil membela nasib kaum Chetti.
Bagaimanapun, tinjauan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke Kampung Chetti pada 14 Januari 2014 sempena sambutan ponggol (pesta menuai) mendapati hal yang sebaliknya sedang berlaku.
Kerja pembinaan berjalan seperti biasa dan ternyata tidak ada tanda wujudnya arahan daripada ketua menteri supaya projek dihentikan sementara siasatan dibuat. Kavyan membuat rakaman video dan foto sebagai bukti.
Kebanyakan penduduk kaum Chetti yang ditemui mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kerja dihentikan di Lot 93 seperti dilaporkan akhbar arus perdana sejak awal tahun. Sebaliknya, kerja pembinaan berjalan dari awal pagi hingga lewat malam, termasuk pada hari cuti umum.
Isu projek di Lot 93 mendapat perhatian ramai selepas didedahkan secara berterusan oleh Kavyan menerusi portal berita dalam talian dan laman rangkaian sosial Facebook berikutan Kunjungan Perpaduan Kavyan pada 15 Disember 2013 dan Solidariti Kampung Chetti pada 29 Disember 2013.
Semasa sambutan ponggol pada sebelah pagi 14 Januari 2014 di Kuil Sivan, tidak ada wakil MIC, Hindraf, atau parti politik atau wakil kerajaan negeri yang hadir walaupun kenyataan yang disiarkan di media arus perdana memberikan gambaran seolah-olah mereka amat prihatin dan berjuang demi nasib kaum Chetti.
Perkembangan yang dapat diperhatikan secara nyata sejak dua minggu lalu membuatkan penduduk Kampung Chetti sedar bahawa mereka sekali lagi menjadi mangsa penipuan, manipulasi politik dan diperalatkan golongan politikus, kuasawan dan kapitalis demi kepentingan peribadi.
Kavyan menyeru wakil media dan bangsa Malaysia yang prihatin supaya terus memberikan tekanan dan desakan kepada kerajaan negeri dan pusat supaya menghentikan segera projek pembinaan di Lot 93 yang secara terang-terangan melanggar pelbagai peraturan, undang-undang dan enakmen sedia ada.
Kavyan akan terus memuatkan berita dan perkembangan terbaru di www.kampungchetti.blogspot.com untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai maklumat tepat, benar dan terkini mengenai keadaan di kampung warisan berkenaan. – 15 Januari, 2014.
* Penulis ialah Presiden Kavyan.
The Malaysian Insider
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.