PM, TPM DAN MENTERI LEBIK BAIK TURUN PADANG JANGAN BERCAKAP TANPA PENYELESAIAN
ISU kenaikan harga
barang yang mendominasi politik negara ekoran kenaikan harga minyak dan
kos-kos pengeluaran memasuki episod hodoh apabila cuba dijadikan isu
perkauman oleh parti-parti kerabat BN khususnya Umno.
Dimulai dengan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang
‘sedih’ melihat anak-anak muda Melayu ‘diperalatkan pembangkang’ dalam
Himpunan Turun malam 31 Disember lalu, terbaru Menteri Wilayah
Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.
Bagi Keng Liang, demonstran Himpunan Turun didominasi anak-anak muda
Melayu sedangkan anak-anak muda Cina dan India bergembira menyambut
tahun baru di pawagam, pasar raya dan lain-lain tempat.
Tengku Adnan pula mendakwa 'orang tengah' cuba menimbulkan kebencian
rakyat kepada kerajaan BN dengan kaedah menaikkan harga barang yang
jelas akan membebankan rakyat.
"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa
yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN.
Ini tidak adil. Kenapa hendak buat cara ini," kata beliau kepada
pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti masyarakat
Acheh Malaysia di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur, 18 Januari lalu.
Keng Liang pula menulis secara berurutan dalam twitternya yang antara
lain menyebut: “selalu dlm demo jalan yg kena tangkap majority kaum
Melayu. Kenapa adik2 perlu diperguna? Pernah Nampak adik2 kaum Cina?
Fikirlah masa depan…”
Strategi meniup sentimen kaum dan agama dalam apa juga isu membabitkan
politik negara memang menjadi senjata utama Umno, MCA dan Gerakan.
Tidak kiralah sama ada isu yang dibincangkan itu benar-benar menyentuh
sentimen agama dan kaum seperti isu kalimah Allah dan pembinaan rumah
ibadah, sentimen kaum dan agama juga cuba sedaya upaya dikaitkan para
pemimpin BN dengan isu-isu kepentingan bersama yang melewati fahaman
agama dan kaum seperti rasuah, penyelewengan, pemborosan dan kenaikan
harga barang.
Apa yang gagal difahami pemimpin BN khususnya Keng Liang, isu-isu
kepentingan bersama tidak lagi menarik minat hanya sebahagian segmen
masyarakat; malah kesedaran umum berhubung isu rasuah, kronisme,
penyelewengan, pemborosan dan terkini, kenaikan harga barang telah
melewati batas bangsa, agama dan pegangan politik.
Sehubungan itulah kita dapat melihat bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 di
Stadium Merdeka dan beberapa siri perhimpunan menuntut reformasi
pilihan raya sejurus berakhirnya pilihan raya umum ke-13 dihadiri rakyat
pelbagai kaum dan agama dan tidak hanya disambut oleh rakyat daripada
kelompok bangsa tertentu sahaja.
Kempen membantah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dimulakan
dengan Himpunan Turun di Dataran Merdeka, yang dihangatkan pula dengan
isu kangkung oleh Perdana Menteri, turut menarik perhatian rakyat
pelbagai kaum. Hinggakan pemimpin Umno Pulau Pinang cuba menangguk di
air keruh dengan mengadakan perhimpunan mengecam DAP ekoran flashmob
membantah kenaikan harga barang yang diadakan masyarakat Tionghoa di
Machang Bubuk.
Bagi Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, janganlah cuba
bermain api dengan menyalahkan ‘orang tengah’ dalam krisis kenaikan
harga barang yang dihadapi rakyat. Beliau perlu menyedari bahawa
kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kini adalah hasil daripada
keputusan kabinet menaikkan harga petrol dan diesel atas premis
‘rasionalisasi subsidi’. Siapakah Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri dan majoriti anggota kabinet jika bukan orang Melayu?
Siapakah juga peneraju syarikat tenaga elektrik negara – Tenaga Nasional
yang menaikkan tarif elektrik jika bukannya Melayu? Siapakah pemilik
syarikat konsesi tol di negara ini yang diberi lampu hijau menaikkan
kadar tol di lebuhraya jika bukannya orang Melayu? Dan siapakah juga
tauke korporat yang menguasai industri gula, beras dan tepung negara
jika bukan seorang Melayu?
Paling tidak pun beliau harus mengakui bahawa kelompok saudagar yang
menguasai urusan peruncitan di negara ini kebanyakan terdiri daripada
penyokong dan pendokong MCA dan bukannya DAP. Malah MCA sendiri
dianggotai para saaudagar dan tauke Tionghoa yang rapat dengan pemimpin
Umno dan bukannya PAS ataupun PKR.
Tidak payahlah Tengku Adnan cuba menyeret sentimen kaum dan agama dalam
isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Lebih elok bagi beliau
mencontohi Timbalan Perdana Menteri yang mula belajar turun padang ke
premis perniagaan bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi harga barang
keperluan harian dan mendengar keluhan rakyat.
Utusan Kini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.