Terlalu banyak isu agama yang wujud sekarang membuatkan saya bertanya
diri saya " Islam apa yang cuba ditonjolkan di negara ini".
Isu-isu seperti reaksi melampau kerajaan BN terhadap isu mazhab, isu
nama Allah, isu hasrat Umno ingin meminda Perkara 3 (1) Perlembagaan
Persekutuan bagi memasukkan mazhab ahlul sunnah wal jamaah sebagai
mazhab rasmi negara ini, isu kenyataan mufti Perak yang mem"bughah"kan
himpunan anak muda yang berhimpun menentang kenaikan barang dan isu
serbuan Jais ke pejabat Bible Society of Malaysia di Damansara Kim
membuatkan saya bertanya Islam apa yang cuba kita tonjolkan pada
masyarakat.
Ya, Islam itu amat indah. Ya Islam itu amat adil. Ya, Islam itu agama
yang Allah menyatakan secara jelas dalam Al Quran bahawa Allah telah
menetapkan DiriNya rahmah (kasih sayang).
Ya, Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang Rasul yang Allah nyatakan sebagai " role model" (qudwatun hasanah) untuk kita semua.
Persoalannya adakah semua prinsip tersebut dijelmakan sekarang ini di negara ini?
Melihat kepada isu isu yang saya nyatakan di atas adakah kita sedang
menonjolkan keindahan dan keadilan Islam. Saya tidak tahu di manakah
keindahan dan keadilan Islam ingin kita kongsi dengan masyarakat bukan
Islam dan mereka yang jauh dari Islam jika berhimpun aman untuk protes
kenaikan harga barang dikira halal darahnya kerana mereka adalah bughah
(penderhaka).
Jika ini wajah Islam yang kita tonjolkan bukankah ianya wajah yang amat
amat menakutkan? Jika wajah Islam sebegini yang kita tonjolkan adakah
salah kita atau salah orang bukan islam jika mereka tidak tertarik
kepada Islam?
Apabila menentang kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan
rakyat dianggap penderhaka, adakah Islam yang ingin kita tonjolkan tidak
benar sama sekali membenarkan kebebasan berhimpun dan bersuara hingga
melaksanakan hak tersebut membolehkan negara mengambil nyawa kita?
Jika itulah pendirian islam kita bukan sahaja akan gagal untuk
meyakinkan orang bukan Islam kepada keindahan Islam malahan kita akan
mengundang risiko wujudnya golongan anak muda Islam yang akan sangsi
terhadap Islam itu sendiri.
Ajaran dan sejarah Islam amat toleran dengan kebebasan (huriyyah)
khususnya kebebasan berhimpun dan bersuara. Sebagai satu contoh apabila
Syaidina Umar r.a ingin campurtangan dalam isu mas kahwin beliau ditegur
oleh seorang rakyat wanita dengan menggunakan hujah dari Al Quran.
Syaidina Umar r.a mengiktiraf kebebasan bersuara itu sambil menyatakan "
Umar salah, wanita itu betul". Islam meletakkan bercakap benda yang
hak (kalimatul hak) di depan penguasa zalim adalah jihad yang paling
utama (afdhol jihad).
Jika undang undang dan piagam hak asasi manusia barat menganggap
kebebasan bersuara adalah satu hak, Islam pula menjadikan kebebasan itu
satu tanggungjawab khususnya jika ia melibatkan teguran ke atas benda
yang mungkar.
Bagaimanakah kenaikan harga barang dan kos sara hidup tidak menzalimi
rakyat dalam keadaan wang rakyat disalah guna dan bocor kerana rasuah,
pembaziran dan salah guna kuasa. Bukankah sejarah Islam ,sepertimana
yang dinyatakan dalam buka fiqh al-zakat karangan Dr Yusuf Al Qardhawi,
menyaksikan golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Sultan Al Ulama
'Izzuddin ibn Salam secara berani dan tegas menegur pemerintah bahawa
mereka dilarang memungut cukai dari rakyat dalam keadaan segala
kemewahan pemerintah terlebih dahulu dicairkan dan jika tidak cukup
barulah bakinya diambil dari rakyat.
Bagi saya dalam keadaan lesunya para alim ulama maka tindakan anak anak
muda berhimpun dan menyatakan bantahan tentang kenaikan kos sara hidup
hakikatnya adalah refleksi mereka mengambil ruh keberanian Imam Nawawi
dan Imam 'Izzuddin Ibn Salam menentang pihak penguasa yang zalim.
Malangnya jika ulama zaman dahulu berani menegur pihak penguasa, di
Malaysia wujud pula ulama yang halalkan darah anak anak muda yang
berhimpun menentang polisi pihak berkuasa.
Di manakah indahnya Islam jika kita tonjolkan golongan Kristian yang
guna nama Allah perlu didakwa di bawah Akta Hasutan atau ditarik
kerakyatan mereka seperti yang dicadangkan oleh Mufti Perak atau
digeledah pejabat mereka dan digari tangan mereka.
Mengapakah ruh tasamuh (toleransi) yang Nabi Muhammad s.a.w tonjolkan
kepada Suhail Al Amr di dalam perjanjian Hudaibiyyah tidak dijadikan
rujukan dalam isu nama Allah ini.
Di mana indahnya Islam jika Islam meraikan perbezaan pendapat dan
mazhab kita pula ingin mengekslusifkan mazhab sehingga ingin dimasukkan
mazhab khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jika kita yang bermazhab Sunni mengkritik Iran kerana meletakkan mazhab
syiah sebagai mazhab utama di Perlembagaan mereka yang bermajoriti
syiah itu, mengapa kita rasa Iran tidak akan gelakkan kita kerana kita
juga ingin jadikan mazhab ahlul sunnah sebagai mazhab rasmi negara.
Allamah Iqbal menyatakan "al Islam mahjubun bi al muslimin" (Islam
terlindung oleh orang orang Islam sendiri). Itulah yang kita lihat di
negara ini pada masa ini!
UTUSAN KINI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.