Semalam
ada pihak yang bertanya saya tentang mereka yang memakai kasut semasa
solat. Soalan itu merujuk kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah
kenaikan harga barang yang bersolat dalam keadaan memakai kasut di
tempat mereka berkumpul.
Rentetan
dari itu juga, ada yang menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng
ala vendetta dalam perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana
menyerupai ajaran Kristian.
Samada
kita bersetuju ataupun tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu
hal yang lain, tapi yang jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi
agama tetapi hakikat bukan bertujuan agama.
Sebaliknya,
bertujuan kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama
dimainkan untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku
dalam banyak pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.
Memakai
kasut semasa solat bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari
najis. Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan
oleh al-Zahabi, daripada Anas bin Malik, berkata:
“Nabi
s.a.w tidak pernah menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali,
lalu, ketika itu, orang ramai pun turut menanggalkannya.
Nabi
s.a.w bertanya: 'Mengapa kamu menanggalkan kasut kamu?' Mereka
menjawab: 'Kami melihat engkau menanggalkannya, maka kami pun
tanggalkan'.
Nabi s.a.w bersabda, 'Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran'."
Dalam
riwayat Ibn Khuzaimah, ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat
kasutnya, jika ada kotoran hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga
bersih di tanah), kemudian dia boleh bersolat memakainya.”
Ertinya,
bukan satu masalah yang besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut
jika bersih. Namun ia dijadikan isu kerana ada kepentingan politik.
Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu.
Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.
Topeng
vendetta memanglah bukan dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia
dari ajaran Kristian?! "V for Vendetta" adalah hasil dari novel David
Llyold dan Tony Weare pada tahun 1982.
Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk "V for Vendetta".
Dalam
sejarah, topeng itu menggambarkan keberanian Guy Fawkes dan kumpulannya
yang menentang penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605.
Cuma
dalam kisah topeng ini kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak
ekstrim dengan merancang untuk membunuh King James dan meletupkan
negara.
Dikatakan
mereka juga ingin menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki
Katolik. Dari sudut itu, ia bukan satu perlambangan yang baik.
Cuma, sebenarnya bukan isu Kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan.
Betapa
ramai orang politik negara ini yang hadir dalam majlis sambutan
Krismas, Depavali, sambutan itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya
memang mempunyai unsur agama.
Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan Kristianisasi, Hinduisasi ataupun seumpamanya.
Demikian
juga apabila ada pihak yang mengharamkan seorang Muslim menyertai parti
musuhnya yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap
menolak Islam.
Namun
kemudiannya membolehkan Muslim menyertai parti lain yang tidak
berteraskan Islam sebagai dasar disebabkan parti itu berbaik dengan
mereka.
Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.
Percampuran
antara politik dan agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai
dan dikehendaki Allah dan RasulNya, tapi boleh juga membawa kesan yang
negatif yang merosakkan agama Allah dan RasulNya.
Ia
semua amat bergantung kepada siapa yang mengendalikan percampuran
tersebut. Atas apa hasrat dia ingin mencampurkan agama dan politik
menentukan hasil percampuran itu. Jika dia mencampurkan keduanya untuk
mendapat panduan Tuhan dalam memimpin manusia secara adil dan amanah,
maka itu membawa kepada kebaikan.
Namun,
jika percampuran politik dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan
politik cuma, maka itu akan merosakkan nama Allah dan agamaNya. Agama
hanya akan menjadi mainan kepentingan penguasa dan segala tafsiran
mempunyai kepentingan mereka yang terbabit dalam politik.
Dalam
sejarah Kristian, ketika golongan agama di Vatican menguasai politik,
betapa ramai tokoh-tokoh yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad)
hanya kerana tidak bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa
politik.
Umpamanya
dalam isu penjualan 'indulgences' atau borang pahala yang dijadikan
saluran untuk golongan agama mengaut harta dengan cara menipu fakta
agama, ramai dibunuh kejam hanya kerana mengkritik.
Demikian
juga isu 'purgatory', 'relics', 'saints' dan pelbagai lagi yang
menjadikan cara golongan agama menipu orang awam. Mereka yang jujur
bangun mengkritik dijatuhkan hukuman mati dan dibakar hidup-hidup.
Inilah
nasib yang menimpa Jan Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama
Bohemian, yang dibakar hidup-hidup di khalayak ramai.
Demikian
tekanan yang dikenakan kepada reformis agung Kristian, Martin Luther
(1483-1546) dan para pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar
hidup-hidup.
Golongan
politik mengambil kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat.
Penyelewengan pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana
golongan agama bersama mereka.
Inilah hasilnya apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.
Di
negara kita kini, lihat bagaimana ada pihak yang ‘so-called’ agamawan
yang sibuk membaca dalil kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan
membazir kerana itu amalan syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula
aktif membaca nas-nas ini kepada golongan atasan.
Persoalannya,
apakah ayat-ayat Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan?
Sementara golongan atasan, samada sultan ataupun menteri, ayat-ayat
Tuhan tidak terkena mereka?
Ada
agamawan yang menghalalkan darah orang bawahan yang berkumpul secara
aman tanpa senjata. Kononnya mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh.
Padahal
bughah adalah istilah mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri.
Tidak dinamakan bughah yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang
berkumpul tanpa senjata.
Dalam
konteks hari ini, apakah bughah dilakukan rakyat yang masih membayar
cukai dan mengikut pelbagai peraturan yang tetapkan oleh negara?
Kita
mungkin boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut
untuk dihalalkan darah awam sedemikian rupa? Lihatlah bagaimana agama
boleh menjadi senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan
menumpah darah rakyat yang lemah.
Saya
tidak menyeru kepada pengasingan agama dari politik kerana itu bukan
tabiat Islam. Pun begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan
politik, lebih baik ia diasingkan.
Politik
Islam itu bukan semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan
intipatinya tidak memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi
tujuan ajaran Islam.
Sekali
lagi saya nukilkan kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat
751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi
al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata al-Shafi’i: 'Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak'.
Kata
Ibn ‘Aqil: 'Siyasah itu yang merupakan tindakan yang mana dengannya
manusia lebih dekat kepada kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun
ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika
engkau maksudkan dengan perkataanmu "Tiada siyasah melainkan apa yang
menepati syarak" iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu
betul.
Jika
engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu
salah. Itu juga menyalahkan para sahabah... apabila zahirnya
tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan
sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agamaNya... bahkan Allah
s.w.t. telah menjelaskan bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai
jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam
kalangan hamba-hambaNya dan membolehkan manusia menegakkan keadilan.
Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka
itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya'."
-Dr. Asri Zainal Abidin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.