Timbalan
Perdana Menteri Teo Chee Hean (gambar) mengarahkan Pesuruhjaya Penguasa
Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) dan Pesuruhjaya Polis Singapura, supaya
melaporkan tindakan pembetulan yang diambil susulan kes melanggar
keselamatan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri
Hal Ehwal Dalam Negeri, berkata: "Saya telah menyuarakan rasa tidak puas
hati kepada Pesuruhjaya Penguasa ICA dan Pesuruhjaya Polis berhubung
kes melanggar keselamatan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan tindakan
susulan yang diambil.
"Kes ini, berkemungkinan membawa akibat lebih serius daripada apa yang
telah berlaku, sepatutnya dicegah dan ditangani dengan lebih segera dan
tegas.
"Saya telah mengarahkan kedua-dua pesuruhjaya itu supaya melaporkan
kepada saya tindakan pembetulan yang diambil mereka, serta mencadangkan
tindakan yang sepatutnya dikenakan terhadap pegawai yang tidak
menjalankan tugas dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari
ini.
Terdahulu, menurut kenyataan bersama, ICA dan polis menahan seorang
wanita Malaysia berumur 27 tahun pada Isnin di perkarangan Kementerian
Hal Ehwal Luar kerana menceroboh.
Wanita itu, yang mempunyai sejarah gangguan mental, turut disiasat
kerana mengelak pihak berkuasa imigresen. Dia kini berada dalam tahanan
polis.
Menerusi bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Polis Diraja Malaysia,
waris wanita itu di Malaysia telah dihubungi untuk membantu siasatan.
Berdasarkan siasatan awal, wanita itu memasuki Singapura dengan sebuah
kereta yang didaftarkan di Malaysia pada 17 Januari, melalui Pusat
Pemeriksaan Woodlands pada 1.58 tengah hari dan meninggalkan pusat
pemeriksaan itu kira-kira 2 petang. - Bernama, 22 Januari, 2014.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.