PETALING JAYA: KEADILAN memberi amaran kepada Kerajaan Pusat
supaya tidak menyalahguna kuasa terhadap pengambilalihan industri air di
Selangor melalui Akta Perkhidmatan Air 2006 mengikut Fasal 114.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Fasal 114
membolehkan Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) mengambil alih sepenuhnya harta, perniagaan dan perjalanan
harian sesuatu pemegang konsesi atas kepentingan negara.
Beliau bimbang jika pengambilalihan ini diteruskan oleh Kerajaan
Selangor akan menyebabkan monopoli melampau syarikat kroni Umno BN,
iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga.
“Fasal
114 memberi kuasa penuh kepada menteri dan SPAN untuk menguruskan hal
ehwal air, termasuklah soal memilih badan atau syarikat yang
dipertanggungjawabkan menguasai keseluruhan aset air di Lembah Klang.
“Saya khuatir jika tidak berhati-hati, Kerajaan Persekutuan akan
memilih Puncak Niaga dan Syabas yang diberi kuasa untuk mengambil alih
semua pemegang konsesi lain dan menjadikannya monopoli air terbesar di
Malaysia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, jika perkara ini diteruskan, rakyat
Selangor bakal menjadi mangsa kenaikan harga air kerana menurutnya Fasal
114 menunjukkan Kerajaan Pusat berkuasa penuh atas sebarang perjanjian,
kenaikan tarif dan sebagainya.
“Melalui Fasal 114, Kerajaan Persekutuan berkuasa penuh memeterai
kembali apa-apa perjanjian dan kadar baru tarif air di Selangor dan
Lembah Kelang. Saya khuatir keadaan ini dimanipulasi untuk menghukum
rakyat dengan kenaikan tarif air, yang selama ini ditolak Kerajaan
Selangor,” katanya.
Tegas Rafizi, pengambilalihan secara paksaan ini jelas bertentangan
dengan suara majoriti rakyat Selangor yang memilih Pakatan Rakyat di
negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Dari segi undang-undang, memang kerajaan boleh mengambil alih
pengurusan air ini mengikut Fasal 114. Tetapi kerajaan jangan
sekali-kali menyalahgunakan bidang kuasa ini.
“Saya bersama Ahli Parlimen KEADILAN dan Pakatan Rakyat di Selangor
akan mengikuti setiap perkembangan dengan teliti dan tidak teragak-agak
mengambil tindakan politik atau mahkamah jika berlaku salah guna kuasa
kerajaan,” tegasnya.
Jelas Rafizi, jika pengambilalihan pengurusan air itu diteruskan,
Kerajaan Pusat perlu memberi komitmen yang ditandatangani secara rasmi
dengan kerajaan negeri untuk memastikan hal ehwal kebajikan rakyat
Selangor dipertahankan.
“Pengurusan air hendaklah kekal di bawah pentadbiran Selangor melalui
anak syarikat yang dipilih oleh Selangor. Fasal 114 beri kuasa penuh
kepada menteri dan SPAN untuk uruskan termasuk memilih syarikat untuk
kuasai keseluruhan aset air di Lembah Klang.
Menyentuh isu Projek Langat 2, Rafizi berkata, kontrak dan kos pelaksanaannya mestilah telus dan adil kepada rakyat Selangor.
“Pastikan projek ini telus dan adil. Kos pelaksanaan Projek Langat 2
akan menjadi kos tambahan kepada pembekalan air di Selangor dan Lembah
Klang.
“Saya khuatir harganya akan melambung kerana kuasa melaksana adalah
sepenuhnya di tangan Kerajaan Pusat dan sudah tentu ia memberi kesan
kepada tarif air Selangor kelak,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Pusat menghantar surat kepada Menteri Besar
Selangor pada 9 September 2013 berhubung hasrat untuk menggunakan kuasa
di bawah Fasal 114, dan jika ini diteruskan, maka seluruh kuasa dan
keputusan mengenai pembekalan air di Selangor dan Lembah Kelang kini
dikuasai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58271
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.